888 Anak Felda Penggeli Timur, Sungai Sibol Terima Pemilikan Tanah

KOTA TINGGI – Penantian 888 penduduk generasi kedua Felda Penggeli Timur dan Felda Sungai Sibol di sini untuk mendapatkan hak milik tanah sejak tujuh tahun lalu berakhir apabila kerajaan negeri meluluskan permohonan mereka baru-baru ini.

Rata-rata mereka yang merupakan 485 penduduk Felda Penggeli Timur dan 403 penduduk Felda Sungai Sibol terharu dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri melalui pemberian tanah terbabit dengan menyifatkan penantian mereka selama ini berbaloi. Pengerusi Badan Bertindak Generasi Baru (BBGB) Felda Penggeli Timur Abd Halim Abd Jalil berkata dia gembira apabila kerajaan negeri meluluskan permohonan mereka dan menyifatkan pengurniaan itu sangat bererti buat generasi kedua Felda.

“Syukur Alhamdulillah, ternyata penantian dan usaha kami selama ini membuahkan hasil,\” katanya yang ditemui pemberita selepas majlis penyampaian Notis 5A Tapak Rumah Generasi Kedua Felda Penggeli Timur dan Felda Sungai Sibol, di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Pegawai Daerah Kota Tinggi Mohammed Ridha Abd Kadir dan turut dihadiri Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti Datuk Baderi Dasuki.

Bapa kepada tiga cahaya mata, Mohd Azraie Zainee, 34, pula berterima kasih atas segala usaha yang diperjuangkan BBGB. “Syukur kerana usaha BBGB selama ini membuahkan hasil meskipun terpaksa menanti selama tujuh tahun,” katanya. Suri rumah, Masroha Ahmad, 46, berkata dia kini mampu menarik nafas lega kerana peluang memiliki tanah untuk membina kediaman bukan satu perkara yang mudah dan tidak datang berkali-kali. “Apa yang mampu diucapkan ialah terima kasih kepada kerajaan dan syukur kepada Allah atas kurniannya,” kata ibu kepada lima anak itu. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.