Afiq Pecah Rekod Asia

GOLD COAST: Pelumba cacat penglihatan, Afiq Afify Rizan dan jurumudi Khairul Adha Rasol memecahkan rekod Asia mereka dalam acara ujian masa 1 kilometer pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 namun belum cukup untuk menaiki podium di Velodrom Anna Meares.

Pasangan pelumba negara itu merakam 1 minit 03.249 saat untuk mengatasi rekod Asia mereka 1:04.192 yang dilakar pada Kejohanan Basikal Trek Para Dunia 2018 di Rio, bulan lalu.

“Jujurnya, kami memang menyasarkan untuk merakam catatan yang sama di sini. Kami berharap dapat mengekalkan persembahan ini pada Sukan Para Asia di Indonesia selepas ini.

“Kayuhan kami lancar dan tiada kesilapan yang dilakukan. Bagaimanapun, ada sedikit masalah dengan pedal yang terjatuh ketika perlumbaan namun saya dapat mengekalkan rentak,” kata Afiq.

Pasangan dari Scotland, Neil Fachie dan jurumudinya Matt Rotherham meraih emas dengan catatan 1:00.065 diikuti pasangan dari Wales, James Ball-Peter Mitchell (1:01.512) dan Australia, Brad Henderson-Tom Clarke (1:01.512). – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.