Dr Mahathir Tidak Hirau Arahan ROS

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan menghiraukan arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya mematuhi arahan pembubaran sementara parti itu.

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa notis yang dihantar oleh ROS mengandungi istilah yang mengelirukan pihaknya.

Beliau mendakwa ayat dalam surat ROS menggunakan bahasa yang lucu sehingga membuatkan ia sukar difahami.

“Dalam surat itu mengandungi istilah yang saya tak pasti sama ada (maksud) bubar atau batal.

“Jadi, kami anggap parti ini masih boleh berfungsi seperti biasa sehingga ROS batalkan (parti) secara rasmi.

Cawangan pun masih berfungsi seperti biasa.

“Memandangkan ROS sendiri tidak mematuhi Akta Penubuhan 1966, maka perintah sementara pembubaran itu belum lagi disampaikan dengan sah dan sempurna kepada kami sehingga kini serta dianggap sebagai tidak sah laku,” katanya pada sidang media tergempar di ibu pejabat PPBM di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata PPBM akan terus berkempen menggunakan pentas itu kerana pihaknya ada hak untuk guna nama dan logo berkenaan.

Dalam sesi sidang media yang sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu terus menyalahkan ROS sebagai punca parti itu terus dirundung masalah pendaftaran.

Antaranya, beliau mendakwa notis yang dihantar ROS ke alamat ibu pejabat lama di Damansara dan ia juga tidak ditujukan kepada pegawai yang sepatutnya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.