England Mudah Atasi Malaysia

GOLD COAST: Malaysia sekali lagi gagal belajar daripada perlawanan yang ‘perlu dilupakan’ berdepan England apabila mereka dibelasah 7-0 oleh pasukan ranking ketujuh dunia itu dalam saingan Kumpulan B Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di Stadium Hoki Gold Coast, hari ini.

Dua jaringan Sam Ward (m-14, m-20) dan Mark Gleghorne (27, 53) buat England manakala satu gol daripada David Goodfield (21), Harry Martin (49) dan Phillip Roper (59) melengkapkan kemenangan besar itu.

England pernah menewaskan lawan di kedudukan -12 dunia itu 7-2, 4-1, 7-3, 8-1 dalam empat pertemuan sebelum ini. Kekalahan hari ini adalah yang ketujuh berturut-turut Malaysia di tangan England.

Ia satu lagi persembahan buruk ditunjukkan Malaysia yang gagal melakukan satu pun cubaan ke sasaran England ketika lawan memperoleh 14 cubaan.

Penjaga gol negara, Hafizuddin Othman dan Hairi Abdul Rahman, yang berganti-ganti mengawal gawang, sibuk sepanjang perlawanan.

“Kami bermain buruk dan keputusan itu amat teruk. Kami tidak bermula baik dan melakukan kesilapan. England menghukum kami daripada kesilapan ini dengan menjaringkan gol mudah,” kata kapten kebangsaan, Sukri Mutalib.

“Kelembapan di sini bukan masalah. Kami hanya gagal menampilkan permainan terbaik kami.

“Saya harap rakan sepasukan tidak kecewa dengan keputusan ini dan saya harap mereka bangkit dalam perlawanan seterusnya.”

Malaysia akan menentang pasukan no-24 dunia, yang seri 1-1 berdepan bekas juara, Pakistan semalam dalam perlawanan kedua kumpulan, esok.

“Kami perlu menunjukkan karektor sebenar dan bermain baik esok. Wales menunjukkan mereka boleh bermain dengan baik dengan menyekat Pakistan dan kami mesti menghormati mereka.

“Objektif kami esok ialah mengutip tiga mata,” kata Sukri. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.