Zionis Teruskan Dasar Tembak Penunjuk Perasaan Palestin

GAZA: Ribuan penduduk Palestin dijangka berkumpul di sempadan Gaza hari ini di sebalik amaran Israel bahawa dasarnya membenarkan tembakan dilepaskan tidak akan berubah.

Keadaan itu meningkatkan kebimbangan keganasan baru tercetus selepas hari paling paling teruk bagi penduduk bandar raya itu dalam masa beberapa tahun.

Demonstrasi yang dirancang itu diteruskan seminggu selepas tentera Israel menembak mati 18 penduduk Palestin ketika bantahan di sempadan Gaza dalam apa yang menjadi hari paling berdarah sejak perang 2014.

Bantahan itu bagi menyokong pelarian termasuk mereka yang berada di tanah Palestin dan mahu kembali ke rumah mereka yang kini dijajah Israel.

Puluhan ribu mengadakan tunjuk perasaan secara aman Jumaat lalu.

Namun sekumpulan kecil penduduk Palestin mendekati sempadan, membaling batu dan menggolekkan tayar terbakar ke arah tentera rejim Zionis yang membawa dengan bedilan peluru hidup dan gas pemedih mata.

Reaksi Israel itu mencetuskan kemarahan antarabangsa, dengan pengkritik menuduh tentera menggunakan cara tidak seimbang.

Menjelang bantahan yang dirancang hari ini, Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman, berjanji peraturan melepaskan tembakan tidak akan diubah.

“Jika ada provokasi, kami akan memberi reaksi paling keras seperti minggu lalu,” katanya. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.