Muka & Nama Sama, Penulis Novel Mohon Maaf Kepada Uqasha Senrose

PETALING JAYA: Penulis novel Maria Isabella menjelaskan lakaran pada kulit depan novel berjudul Uqasha Suci bukanlah wajah pelakon Uqasha Senrose.

Maria atau nama sebenarnya Ain Maria, 26, berkata, lakaran tersebut adalah hasil ilustrasi yang dibuat oleh pereka grafik mengikut inspirasi patung baby doll.

“Sebenarnya saya bagitahu pereka grafik untuk meletakkan lakaran wajah wanita seperti patung baby doll.

“Semasa perbincangan tentang kulit buku itu tiada satu suara pun yang menegur ia seiras Uqasha sampailah pelakon itu sendiri menegurnya di laman sosial,” ujarnya kepada mStar Online pada Jumaat.

Maria diminta mengulas tentang teguran Uqasha terhadap kulit depan novelnya dikatakan seiras dengan wajah pelakon itu.

 

Uqasha  (kanan) bersama penulis novel Uqasha Suci Maria.

Uqasha menerusi Twitter turut mempersoalkan tindakan penulis buku dan penerbit menggunakan nama dan wajahnya tanpa sebarang kebenaran.

Sementara itu, Maria berkata, dia juga sudah bertemu dengan pelakon Hero Seorang Cinderella itu pada Rabu lalu bagi menjernihkan keadaan.

“Rabu lalu dia ada sesi fotografi berhampiran pejabat saya, jadi saya ambil kesempatan bertemu dengannya.

“Saya minta maaf jika perkara itu membuatkan dia rasa kurang senang dan dia juga meminta maaf kerana dia hanya sekadar bertanya tentang kewujudan buku terbabit,” ujarnya.

Tambah Maria, dia juga terkilan disebabkan perkara itu, Uqasha berhadapan dengan kecaman netizen.

Sementara itu, menjelaskan novel tersebut, Maria berkata, ia merupakan cetakan kedua novel yang ditulis pada 2015.

“Saya mula menulis siri Uqasha pada 2015 di sebuah portal hanya sekadar suka-suka, namun selepas mendapat sambutan menggalakkan dan dibaca lebih 8 juta kali, ada pihak mencadangkan ia diterbitkan dalam bentuk novel.

“Pada 2016 saya terbitkan dalam bentuk novel tapi ada masalah dengan kulit buku kerana dikatakan terlalu seksi. Jadi kami buat siri kedua dengan olahan baharu yang berkisarkan tentang seorang wanita yang keras kepala. Rakan-rakan kata buku yang saya tulis itu seperti diri saya sendiri.

 

Uqasha Senrose.

“Tapi sejujurnya ia adalah sifat wanita sekeliling, namun saya tegaskan ia tiada langsung berkaitan dengan kehidupan pelakon Uqasha,” ujarnya.

Selain itu, ditanya tentang nama buku tersebut, Maria berkata, ia adalah idea daripada kakaknya yang menganggap nama tersebut unik dan moden.

Maria mengakui, nama itu diambil daripada nama pelakon berkenaan.

“Masa itu saya minta pandangan kakak saya tentang nama unik dan dia cadangkan nama Nelydia tapi saya tidak mahu.

“Ia disebabkan pelakon itu sedang popular dan kakak mencadangkan nama Uqasha kerana ketika itu dia belum dikenali,” ujarnya. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.