Felda fix deposit BN?

MINGGUAN: Dengan 54 kerusi Parlimen dan 92 kerusi DUN, pengundi di kawasan Felda penting bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14. Jumlah kerusi Parlimen itu adalah satu perempat daripada keseluruhan kerusi Parlimen. Bagaimana Tan Sri melihat peluang BN bagi memenangi kesemua kerusi ini?

SHAHRIR: Sejak setahun kita buat perubahan di Felda, penyusunan semula nampak kepada keadaan lebih baik. Kita ada konsep peneroka bersama Felda iaitu yang menjual hasil mereka, ada akaun dan sebagainya. Kerana itu, ia boleh menyumbang semula kepada komuniti mereka.

Kita juga ada Gerakan Muafakat Bersama Felda di mana hari ini hasilnya 93 peratus daripada 112,000 lebih peneroka adalah dalam kategori bersama Felda. Ia berbanding keadaan sebelum itu, setakat 94,000 peneroka yang bersama Felda. Ini petanda yang baik dalam kalangan peneroka.

Dulu kita tiada ukuran dan hanya dengar masalah itu dan ini serta tiada keyakinan dalam Felda. Pada peringkat awal saya dilantik sebagai Pengerusi Felda, ada peneroka yang tidak percaya malah pihak bank juga anggap Felda bermasalah. Tetapi pada Jun lalu, sebuah bank dengan yakin boleh aturkan satu sukuk dan ini satu tanda yang positif.

Bank mula melihat dengan pandangan yang positif bahawa kita boleh mengurus Felda dengan baik dan juga amalan, peraturan dan urus tadbir yang baik. Ini adalah tindakan baik dalam membetulkan pengurusan dalam Felda.

Sejauh mana Tan Sri melihat pelbagai masalah melibatkan Felda sebelum 2017 mampu memberi kesan sokongan pengundi kepada BN?

SHAHRIR: Tentunya ia memberi kesan, malah apabila peneroka tidak faham, pengurusan tidak faham dan institusi bank tidak faham. Macam seolah-olah melabur dalam bidang perhotelan di London, Kuching, Kota Kinabalu dan Port Dickson kerana ia bukan menjadi kekuatan sebenar Felda.

Setiap agensi ada kekuatan atau kepakaran sendiri. Di London umpamanya tidak menepati kerana walau letak apa pun sebagai pelaburan tetapi pulangannya tidak semacam sesuatu yang boleh kita banggakan.

Buat pelaburan seolah-olah Felda tidak tahu hala tuju serta tanggungjawabnya yang sebenar iaitu kepada pengurusan ladang yang sebaik mungkin.

Begitu juga kebajikan peneroka, malah dasarnya juga tidak tentu arah. Keadaan sekarang sudah jauh berbeza dan sekarang peneroka dapat merasakan mereka telah diutamakan.

Apakah perubahan yang telah dibuat sejak Tan Sri dilantik sebagai Pengerusi Felda?

SHAHRIR: Misalnya soal pembayaran menjadi perkara penting yang diberi keutamaan. Sebagai agensi yang menguruskan para peneroka, kaedah pembayaran dikaji semula, urus tadbir dikemaskan, integriti diutamakan, langkah-langkah lain diberi perhatian termasuk bidang-bidang yang di luar kepakaran Felda seperti bidang perumahan yang mana kita akan minta bantuan daripada pihak yang berkaitan. Perumahan Generasi Baru Felda atau PGBF antara yang diberi perhatian.

Kita terikat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT). Dahulu Felda jauh dari bandar tetapi perkembangan di peringkat tempatan sekarang ini telah sampai ke Felda dan kita kenalah patuh. Perumahan peneroka nampak macam main buat sahaja tetapi ia tetap tersusun dengan bekalan air, api dan juga jalan raya yang datang kemudian.

Selepas 60 tahun merdeka banyak perubahan berlaku. Apa salahnya kita bangunkan perumahan untuk generasi kedua Felda dengan kaedah-kaedah yang sedia ada bersama-sama agensi-agensi kerajaan yang sudah lama ada kepakaran dan pengalaman. Umpamanya dalam projek Rumah Mesra Rakyat yang diluluskan dalam Bajet 2018. Ia ada elemen subsidi yang menjadi aspek penting dalam projek itu.

Jadi saya buat memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak yang terbabit iaitu Felda sediakan tapak kepada anak-anak peneroka dalam projek ini. Rumah yang diwujudkan dalam skim Rumah Mesra Rakyat ini dijual pada harga RM55,000. Tidak perlu pinjam duit dengan bank dan boleh bayar secara ansuran.

Sementara daripada segi hutang, Felda mengambil langkah yang lebih praktikal umpamanya dalam soal tanaman semula. Walaupun peneroka menabung untuk tanam semula sekitar RM10,000 tetapi kos tanam semula mencecah RM50,000. Maknanya peneroka kena pinjam RM40,000 dan apabila bayar dapat geran tanam semula beban hutang boleh kurang hingga 75 peratus. Ini bukan kaedah luar biasa. Kita mohon geran ini untuk manfaat para peneroka.

Di Felda, kita tidak boleh eksklusif tetapi inklusif maknanya mereka juga sama seperti rakyat Malaysia yang lain. Tidak perlu lagi bayar geran dan hutang juga dapat dikecilkan. Pada masa sama pendapatan peneroka juga dapat ditingkatkan.

Kita akui ada peneroka yang tanggung hutang lebih, misalnya soal tanah dan cuaca yang tidak sesuai sehingga dilakukan proses sulaman bagi mengelakkan kelewatan waktu tuaian.

Untuk itu, kita telah cuba melupuskan hutang-hutang yang berlebihan kerana itu bukan salah peneroka.

Kita juga bantu peneroka yang tidak berhutang apabila ada bantuan RM5,000 yang akan dipulangkan semula kepada golongan ini. Dalam lebih 112,000 peneroka ada sekitar 7,000 peneroka yang tidak berhutang.

Harus mereka dihargai dan merasa nikmat daripada insentif kerajaan berikan itu. Peneroka yang tidak berhutang dibayar balik dengan tunai.

Perbandingan Felda di bawah Dr. M, Najib

Bagaimana Tan Sri melihat perubahan yang berlaku di Felda ketika di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak?

SHAHRIR:  Kalau kita lihat sejarah iaitu sejak tahun 1996 kerajaan tidak memberikan sebarang peruntukan kepada Felda kerana pada ketika itu zaman pertumbuhan ekonomi berasaskan kepada teori dan pendekatan yang ‘dari atas ke bawah atau melimpah ke bawah’ atau dari bandar ke kampung.

Ia mungkin tidak berkesan tetapi kerana kesesuaian kaedah itu mereka yang di luar bandar diketepikan. Ketika itu Felda tidak dapat peruntukan.

Bila Felda mahu cari duit, kerajaan kata cari duit sendiri, seiring dengan fahaman ketika itu menjadikan luar bandar tidak penting. Mahu buat pembangunan mesti di bandar dan bukan di luar bandar.

Cuma pada 2003 apabila Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri barulah ada perhatian ke arah itu. Malah Najib  diberi tanggungjawab menjaga Felda, barulah ada perhatian ke atas Felda.

Selepas 60 tahun merdeka sudah tentu Felda juga perlu ada lonjakan yang baharu kepada model yang ada. Ini kerana, Felda juga berperanan besar dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi di luar bandar.

Jadi Najib telah membetulkan peranan Felda dan sejak itu banyaklah bantuan dihulurkan kepada peneroka.

Sebelum itu, peneroka tidak dipandang dan kerajaan selepas itu mengutamakan pembangunan yang seimbang di kawasan Felda. Sejak itu kerajaan telah meningkatkan semula perhatian kepada peneroka dalam soal kemudahan asas seperti api, air dan jalan raya.

Penambahbaikan itu perlu ada dan peneroka telah mendapat perhatian terutama ketika Najib diberi tanggungjawab ‘menjaga’ Felda.

Itulah detik yang berubah. Kalau dahulu apabila peneroka dapat tanah, maka pandai-pandailah mereka jalankan aktiviti sendiri. Lebih kurang macam mahu diswastakanlah.

Sedangkan kita harus akui pembangunan yang seimbang mesti mengimbangkan juga luar bandar dan bandar serta antara wilayah dengan wilayah begitu juga antara Semenanjung Malaysia dengan di Sabah dan Sarawak.

Ini jika dilihat secara keseluruhan akan membuatkan kita faham tentang perhatian yang kerajaan  beri kepada masyarakat di luar bandar.

Sebab itu kita kena ada pembangunan yang seimbang di bandar dan luar bandar.

Keadaan yang diwujudkan itu meletakkan Felda di tempat yang betul kerana perlu menjadi suatu lonjakan di luar bandar.

Felda sebenarnya bukan kampung tetapi ia lebih kepada bandar tersusun sama dengan taman-taman perumahan.

Di Felda zon perumahan, taman, pertanian, perniagaan dan lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk masjid, klinik dan sekolah seperti di bandar.

Rugilah kalau kita tidak gunakan asas di Felda yang telah ada bagi dilonjakkan ke suatu tahap yang lebih tinggi.

Semasa tiada dasar pembangunan di luar bandar memanglah Felda tidak boleh buat apa-apa. Tetapi sekarang pembangunan luar bandar sudah menjadi penting.

Sekiranya kerajaan tidak melaksanakan dasar mengimbangi pembangunan di bandar dan luar bandar, apakah yang akan berlaku?

SHAHRIR:  Kalau tidak kita akan menjadi seperti Korea Selatan yang mana orang luar bandar akan berhijrah ke bandar. Macam di Jakarta yang jadi mega sebab mereka berhijrah ke ibu kota.

Sedangkan kalau kita ambil semula dasar yang dibuat oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dahulu yang menjadikan pembangunan di luar bandar sebagai asas dan strategi pembangunan, maka kita akan lebih aman dan tenteram.

Penghijrahan akan berlaku tetapi ada juga anak-anak peneroka Felda yang sanggup tinggal di Felda asalkan syaratnya kita kena penuhi permintaan mereka dengan menyediakan kemudahan moden seperti Internet dan peluang-peluang perniagaan  termasuk dalam sektor digital serta perumahan.

Sokongan dan kematangan politik

Apa harapan Tan Sri kepada pengundi di kawasan Felda umumnya dan Parlimen Johor Bahru khasnya?

SHAHRIR:  Saya harap warga Felda sudah nampak dan boleh menerima perubahan yang berlaku di Felda termasuk bagaimana ia kembali sebagai satu agensi yang mempunyai urus tadbir dan peraturan ke arah integriti. Kalau ada berlaku penyelewengan pun, ia berlaku sebelum 2017.

Sejak saya dilantik sebagai Pengerusi Felda pada 2017, ada perubahan yang dapat dilihat dan diterima dengan baik oleh para peneroka dan generasi baharu Felda. Saya yakin pengundi di Felda mempunyai pemikiran dan kematangan politik dalam memilih calon nanti.

Kita mengambil tindakan untuk meningkatkan integriti dengan berbagai cara seperti meletakkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di unit integriti, membuat polisi whistleblower (pemberi maklumat), membuat ikrar bebas rasuah dan membetulkan urus tadbir dalam Felda.

Saya rasa orang boleh nampak perubahan yang berlaku termasuk pendekatan kita dalam isu tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Bagaimana kita membetulkan keadaan yang “luar tabii” dan menjadikan keadaan yang sepatutnya dalam hubungan antara tuan tanah dengan pemaju. Saya harap mereka menilai dari segi kemajuan dalam tempoh setahun lebih ini.

Sebab saya nampak PH bercakap tentang Felda seolah-olah saya tidak ada di Felda. Mereka bercakap tentang isu-isu yang berlaku pada 2016 dan sebelum.

Kalau PH tidak bercakap tentang apa yang berlaku di Felda pada 2017 dan 2018, maknanya mereka mengaku sudah ada perubahan dan ke arah yang betul. Mereka hanya mampu cerita sebelumnya. Pada saya, kalau PH pun boleh mengiktiraf, saya rasa peneroka Felda pun begitu juga sebab mereka tahu sudah ada perubahan. Saya harap mereka tidak terpengaruh dengan janji-janji populis PH.

Apakah Tan Sri yakin pengundi di Johor Bahru lebih matang dalam membuat pilihan?

SHAHRIR:  Pendekatan saya di Johor Bahru ialah ke arah memperkasakan komuniti. PH bercakap tentang reformasi institusi, cerita yang di atas dan besar sahaja.

Pada pandangan saya, kalau hendak betulkan institusi dan urus tadbir, kita boleh bermula dari bawah kerana kerajaan yang paling dekat dengan masyarakat sebenarnya adalah PBT.

Jadi kalau boleh kita betulkan urus tadbir di peringkat kerajaan tempatan, maknanya ia membawa kepada peningkatan amalan urus tadbir yang baik ke atas kalau boleh dilakukan di bawah.

Bagaimana kita hendak lakukan di bawah? Masyarakat di bawah kena bersatu dan bersuara sebagai komuniti untuk meminta perhatian kepada keperluan mereka sebagai komuniti. Kalau seorang sahaja bersuara, tidak berkesan.

Pendekatan saya ialah memperkasakan komuniti di peringkat akar umbi supaya ia boleh menuntut kepada urus tadbir yang lebih baik di peringkat kerajaan tempatan dan ini berjalan serta berjaya dilakukan di Johor Bahru.

Sebenarnya saya “mengkampungkan” bandar. Kalau tidak, orang bandar tidak kenal jiran sendiri. Bila mereka tubuhkan persatuan penduduk, barulah mereka kenal jiran-jiran. Amalan itu sudah biasa di kampung. Saya ‘kampungkan’ bandar dengan mengamalkan konsep kejiranan dan hidup sebagai satu komuniti.

Faktor Mahathir, Muhyiddin dan Kit Siang

Pada PRU-13, pengundi kawasan Felda di Johor paling banyak mengundi BN iaitu sebanyak 90 peratus. Bagaimana Tan Sri melihat faktor Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh memberikan kesan?

SHAHRIR: Semasa Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor, saya tidak nampak beliau memberikan perhatian sama adil kepada tanah rancangan Felda kerana mengikut dasar Tun Dr. Mahathir Mohamad pada masa itu. Kalau luar bandar dianggap tidak penting, maka tidak pentinglah. Dari segi dasar pada masa itu, saya tidak nampak pengaruhnya pada tanah rancangan Felda berbanding masa Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Kalau Dr. Mahathir kata pembangunan berasaskan pendekatan “atas bawah”, teori limpahan ekonomi ataupun tumpuan kepada penswastaan, itulah yang dibuat. Memang Muhyiddin taat dan melaksanakan dasar Dr. Mahathir pada masa itu dan juga satu dasar yang disokong oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi, beliau memang sealiran.

Tetapi apabila adanya perubahan kepimpinan Tun Abdullah, beliau membawa orang-orang baharu yang tidak terikat dengan fahaman ekonomi Dr. Mahathir. Kita lihat apa yang diilhamkan oleh Tun Abdul Razak dalam bentuk pembangunan wilayah dan luar bandar, kembali semasa Tun Abdullah. Inilah sebenarnya kekuatan bagi masyarakat luar bandar kerana dasar menyokong pembangunan luar bandar.

Jadi, berdasarkan perbezaan dasar ketika era Dr. Mahathir dan Perdana Menteri selepas itu, maka memang wajar warga Felda menolak Pakatan Harapan?

SHAHRIR: Kalau mereka hendak menyokong, saya tidak nampak asasnya. Apa faedahnya semasa Dr. Mahathir dan Muhyiddin ketika itu? Mereka mempunyai jawatan yang tinggi ketika itu dan sepatutnya mampu membawa faedah kepada masyarakat Felda dan luar bandar.

Felda sekarang boleh kembali menjadi peneraju kepada pembangunan luar bandar kerana kerajaan mahu membangunkan luar bandar dan ada Program Transformasi Luar Bandar.

Kerajaan juga mempunyai pelan untuk menyediakan Internet berkelajuan tinggi di luar bandar termasuk di Felda yang mempunyai ramai penduduk.

PH yakin dapat menang mudah 16 kerusi Parlimen di Johor dalam PRU-14. Apa komen Tan Sri?

SHAHRIR:  Kita kena bekerja kuat untuk menang kembali kerusi-kerusi Parlimen di kawasan bandar. Tetapi kalau tengok perkembangan di Gelang Patah pun berbeza sekarang sehingga Lim Kit Siang tidak mahu bertanding di situ lagi.

Kalau begitu, mungkin peluang untuk kita menang di Gelang Patah adalah lebih baik kali ini. Pada PRU-13, teori atau congakan DAP ialah mereka akan dapat 80 peratus undi Cina. Anwar bersama dengan Pas akan bawa undi Melayu sebanyak 50 peratus.

Tetapi saya tengok congakan itu tidak berlaku. Walaupun DAP dapat undi pengundi Cina tetapi mereka tidak dapat undi Melayu.

Kalau dahulu kekuatan Anwar dan Pas tidak cukup kuat, kali ini mereka bawa pula Dr. Mahathir, Muhyiddin dan Mohamad Sabu selepas Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu meninggalkan Pas. Itulah formula DAP sekarang. Jadi, congakan DAP itu tetap sama. Cuma sudah bertambah tokoh yang diharapkan boleh melakukan apa yang Anwar tidak boleh buat. Tetapi saya rasa kesannya sama sahaja.

Kenapa Tan Sri rasa faktor Dr. Mahathir dan Muhyiddin tidak akan membawa kesan besar terhadap sokongan pengundi Melayu?

SHAHRIR:  Pasal apa… tawarannya? Kalau kita tengok tawaran oleh Pakatan Harapan (PH), soal agama tidak cakap pun. Malah dalam Parlimen, kita dengar macam mana wakil-wakil DAP menyerang Jabatan Kemajuan Islam, Tabung Haji, perbankan Islam, sistem ekonomi Islam, soal halal dan haram. Mereka menyerang apa yang telah kita capai melalui usaha kita  menterjemah Islam sebagai wadah yang boleh dilaksanakan dalam kehidupan kita selain ibadah.

Kita telah bergerak meninggalkan ekonomi kewangan konvensional kepada yang menepati syariah. Ini yang kita tengok PH tidak sebutkan sebab mereka tidak iktiraf pun sistem ekonomi Islam. Sebab mereka lebih kepada sistem ekonomi konvensional.

Mereka tidak percaya kepada sistem ekonomi Islam yang kita laksanakan sejak zaman Tun Abdul Razak sehingga kemahiran, ilmu, amalan dan pengalaman kita bertambah dan kita berjaya melaksanakannya.

Kalau kita tengok manifesto PH, mereka tidak sebut pun (tawaran kepada orang Melayu) supaya apa yang ada sekarang mudah dirombak sekiranya mereka berkuasa kerana tidak menepati selera. Macam mana mereka hendak mencetuskan ‘tsunami Melayu’ kalau tidak ada tawaran khusus kepada orang Melayu?

Dengan hanya dapat 50 peratus (kerusi) campur satu pun, mereka boleh merombak dan menukar apa yang telah kita laksanakan. Walaupun kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan terjamin dalam Perlembagaan tetapi pentafsiran dan pelaksanannya bergantung kepada mereka yang berkuasa.

Kalau PH dalam manifestonya cuma mengatakan akan mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, itu tidak cukup kerana kita tidak tahu bagaimana mereka hendak mentafsirkannya.

Kit Siang dikatakan bakal bertanding di Parlimen Johor Bahru dalam PRU kali ini. Bagaimana Tan Sri melihat kehadiran Kit Siang mampu mempengaruhi sentimen pengundi Cina di kawasan itu?

SHAHRIR:  Kalau mengambil pendekatan perkauman seperti itu, sudah tentu Kit Siang melihat beliau ada peluang sebab jumlah pengundi bukan Melayu di Parlimen Johor Bahru adalah sebanyak 47 peratus.

Ini dengan anggapan PH akan memperoleh undi pengundi Melayu kerana orang Melayu berpecah kepada PAN dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Jika Kit Siang boleh mendapat 80 peratus undi pengundi bukan Melayu dan sedikit undi daripada pengundi Melayu, beliau boleh menang. Itulah agaknya kalau pendekatan perkauman.

Tetapi bagi BN dan saya sendiri tidak mengambil pendekatan berasaskan perkauman. Saya tidak boleh kata saya akan dapat 80 peratus undi pengundi Melayu dan cuma hendak 20 peratus undi pengundi bukan Melayu. Saya tahu Melayu, Cina dan India berbeza tetapi saya tidak boleh membeza-bezakan mereka dan itu pendekatan di Johor Bahru dan seluruh Johor sejak PRU-12.