Berlin Hadapi Risiko Tiada Lapangan Terbang

BERLIN : Berlin bakal berdepan risiko tidak memiliki lapangan terbang sendiri jika pembinaan lapangan terbang baru yang sekian lama tertangguh itu gagal dibuka mengikut jadual.

Menteri Pengangkutan Andreas Scheuer memberi amaran, ibu negara Jerman berkenaan tidak akan memiliki lapangan terbang sendiri jika pembinaannya gagal disempurnakan menjelang akhir tahun 2019.

Beliau berkata, kemelut menyelubungi pembinaan Lapangan Terbang Berlin-Brandenburg menjadikan ia satu bahan lawak di kalangan penduduk Berlin sejak tahun 2012.

Scheuer turut menggesa pihak berkuasa tempatan untuk tidak menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Tegel dengan terlalu cepat.

Kerajaan tempatan sebelum ini merancang untuk menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Tegel yang dibina sejak dari era Perang Dingin dalam tempoh enam bulan menjelang pembukaan lapangan terbang baru itu, sebelum pembukaannya ditangguhkan kepada Oktober 2020.

Ia pada awalnya dijadualkan mula beroperasi Jun 2012 namun ditangguhkan ketika tempoh pembukaan hanya berbaki tiga minggu, menyebabkan ratusan syarikat penerbangan terpaksa menyusun semula penerbangan masing-masing pada saat akhir.

Projek berkenaan kemudian ditangguhkan lagi untuk satu jangka masa agak panjang atas dakwaan rasuah dan masalah teknikal. – Reuters

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.