Pajakan RM1.9 Bilion Dibayar Kepada FELDA

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) membayar pajakan tetap dan perkongsian untung operasi ladang berjumlah RM1.9 bilion kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sejak 2012 sehingga 2017.

Pembayaran itu adalah komitmen pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia itu terhadap Felda yang termaktub dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) yang membabitkan pajakan 355,000 hektar ladang sawit selama 99 tahun kepada FGV.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad, berkata setiap tahun, FGV membayar RM250 juta kepada Felda di bawah LLA.

Beliau berkata, syarikat perladangan sawit itu juga berkongsi 15 peratus keuntungan operasi ladang bersama FELDA mengikut perjanjian berkenaan.

“Sumbangan FGV kepada peneroka adalah secara tidak langsung kerana ia disalurkan menerusi FELDA yang bertanggungjawab terhadap lebih 112,000 peneroka.

“Kita juga memberikan dividen kepada semua pelabur yang mana peneroka FELDA juga adalah antara pelabur kita,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Media Prima Bhd di sini, baru-baru ini.

Zakaria berkata, selain pulangan pelaburan dan dividen, sumbangan tidak langsung FGV terhadap peneroka juga dari segi meningkatkan hasil tanaman mereka dengan bekerjasama secara rapat dengan FELDA untuk menghasilkan benih sawit yang berkualiti.

Beliau berkata, pihaknya juga membimbing peneroka FELDA mengenai amalan penanaman yang baik untuk meningkatkan hasil tanaman mereka dan pada masa sama menepati standard antarabangsa.

Katanya, dua pertiga buah tandan segar (FFB) yang diterima FGV adalah daripada peneroka Felda, justeru adalah penting memastikan sawit yang dihasilkan berkualiti.

Di samping itu, Zakaria berkata, FGV juga komited untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda khususnya anak peneroka Felda menerusi Program Usahawan Muda.

“Program ini terbuka kepada semua warga negara berumur antara 20 hingga 30 tahun dan keutamaan diberikan kepada generasi baharu peneroka, anak kakitangan FGV dan FELDA yang tinggal di kawasan FELDA.

“FGV akan memilih 40 peserta untuk kumpulan pertama program ini dan segala kos pembelajaran serta peralatan akan ditanggung sepenuhnya oleh FGV,” katanya.

Menerusi Program Usahawan Muda itu, peserta akan dilatih bermula daripada asas pengurusan perniagaan sehinggalah latihan lapangan di ladang FGV mengikut prinsip kelestarian bagi memastikan setiap peserta mampu menguruskan syarikat sendiri.

Peserta yang berjaya dalam program itu kelak, akan dilantik menjadi vendor FGV dan dalam masa yang sama juga mereka boleh mengembangkan lagi perniagaan dengan memperoleh kontrak daripada pihak lain. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.