Hormat Hak SPR

KUALA LUMPUR: Rakyat tidak perlu terus mempertikaikan tarikh mengundi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei depan kerana yang penting mereka keluar mengundi dan mematuhi peraturan ditetapkan.

Penasihat Undang-Undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azizan Md Arshad, berkata badan itu mengambil kira pelbagai faktor sebelum menghasilkan keputusan terbaik.

“Kita tak boleh mendesak SPR seperti parti politik. Dalam undang-undang, kita dibenarkan untuk pindah tempat mengundi. Kita tak ambil peluang, mengapa? Adakah pilihan raya tidak sah pada hari Rabu?

“Hak SPR kita kena hormat. Saya seru rakyat Malaysia keluar mengundi, sebab ini hak kita. Tak perlu kita nak protes undi hari Rabu dan sebagainya. Yang penting, keluar mengundi dan patuhi peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bersiaran dalam Rancangan Assalamualaikum, yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV Al-Hijrah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata rakyat tidak harus menyalahkan SPR kerana tarikh pengundian boleh berlaku pada bila-bila masa dalam tempoh lima tahun.

“Kalau kita tak menjalankan hak kita, kenapa kita nak salahkan orang lain? Adakah pengundian pada Rabu menjadikan pilihan raya itu tidak sah?

“Sejarah juga membuktikan di negara kita ini bukan pertama kali, sebaliknya kali keempat kita mengadakan pengundian pada hari kerja biasa. Kenapa hendak menjadikannya sebagai isu?

“Kalau kita melihat mengundi itu sebagai satu tanggungjawab yang perlu kita laksanakan, kita tidak akan melihat ia sebagai satu bebanan.

“Yang penting, kita keluar mengundi. Kalau kita memang tak nak mengundi, buatlah hari apa pun, tak akan keluar (mengundi),” katanya.

Beliau turut menjelaskan, dalam undang-undang tidak ada ketetapan pengundian mesti pada hari minggu.

“Tak ada. (Ia) mengikut kesesuaian. Benda ini nampak agak menjadi keresahan kepada pengundi kerana kita sudah terbiasa dengan pengundian hujung minggu.

“Kita juga selalunya mahu ambil peluang bercuti panjang untuk mengundi. Kebanyakan yang mengadu kepada SPR adalah mereka yang tidak mengundi di tempat di mana dia berada,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengundi khususnya yang pertama kali mengundi untuk membuat semakan serta mematuhi peraturan ditetapkan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.