Turut mempersoalkan niat ‘murni’ gabungan pembangkang itu adalah Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw yang mendedahkan mustahil untuk gabungan pembangkang memansuhkan GST yang menjadi antara sumber pendapatan terbesar negara sekiranya berjaya menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengulas mengenai perkara tersebut, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, gabungan pembangkang PKR sekadar menjadikan GST sebagai modal politik mereka dengan mengaitkannya dengan tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.

“Gabungan pembangkang PKR terutamanya DAP memang terkenal dengan cara mereka memutar belit sesuatu isu dan menanam persepsi negatif dalam pemikiran rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita perlu sedar hakikat tekanan ekonomi yang berlaku di seluruh dunia menjadi satu daripada faktor peningkatan kos sara hidup dalam negara. Sekiranya GST dihapuskan, kerajaan akan kehilangan sumber pendapatan terbesar sekaligus menyebabkan bantuan untuk rakyat tidak dapat diberi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Tunku Abdul Aziz, gabungan pembangkang PKR cuba mengelirukan rakyat bahawa mereka akan menghapuskan GST tetapi besar kemungkinan akan melakukan pusingan U apabila berjaya menang dalam pilihan raya nanti.

Katanya, gabungan pembangkang itu akan memberi pelbagai alasan kepada rakyat untuk melaksanakan GST kerana mereka sedar bahawa sistem cukai tersebut adalah yang terbaik ketika ini dan turut diguna pakai lebih 170 negara-negara lain.

“Lihat sahaja janji gabungan pembangkang PKR kononnya akan menghapuskan tol sekiranya menjadi pemerintah. Mereka sedar tidak mampu menunaikan janji dan membuat pusingan U dengan memberi pelbagai alasan tidak munasabah.

“Gabungan pembangkang PKR ini menggunakan isu ekonomi kerana kebanyakan golongan yang terhimpit dengan masalah ini adalah orang Melayu. Jadi ini taktik mereka untuk meraih undi orang Melayu yang sukar menerima gabungan tersebut kerana dominasi DAP terhadap sekutunya,” katanya. – UTUSAN ONLINE
© Utusan Melayu (M) Bhd