Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pengundi di kawasan Felda tidak wajar hanya mendengar tentang keburukan dan masalah Felda yang disebarkan oleh pembangkang.

Jelas beliau, jika masyarakat Felda menilai perkara itu dengan baik, maka mereka akan menye­dari keprihatinan BN terhadap masa depan mereka telah terbukti sejak sekian lama dan bukan sekadar semasa pilihan raya.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa peka dengan nasib peneroka Felda dan bukan hanya mengumumkan insentif untuk Felda semasa pilihan raya.

“BN sentiasa menangani isu yang dihadapi masyarakat Felda berbanding pembangkang yang hanya bercakap masalah lalu yang telah pun diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Rembau Challenge 2018 di sini semalam.

Khairy Jamaluddin seterusnya berharap pengundi Melayu tidak terpengaruh dengan propaganda tsunami Melayu akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan terus mempertahankan BN.

Sementara itu, beliau memaklumkan akan akur jika diminta oleh pucuk pimpinan BN supaya bertanding di kerusi lain meskipun Parlimen Rembau masih menjadi pilihannya.

“Saya orang parti dan kalau Pengerusi BN minta saya bertanding di mana pun, saya akan pergi. Setakat saya tahu, saya di sini (Parlimen Rembau) dan pilihan saya adalah di sini,” katanya.

Sejak kebelakangan ini timbul spekulasi beliau akan menjadi calon BN di kerusi Parlimen Port Dickson yang dahulunya dikenali sebagai Parlimen Telok Kemang. – KOSMO ONLINE