Sabah Sedia Calar Rekod FELDA

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah, Jelius Ating beranggapan pertemuan skuad bimbingannya dengan FELDA United dalam aksi dua pasukan teratas Liga Perdana di Stadium Likas, malam esok, sama pentingnya seperti perlawanan lain.

Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata, walaupun FELDA United kini berada di takhta liga selepas memenangi kesemua perlawanan mereka setakat ini, ia bukan bermakna Sang Badak harus berasa gentar untuk berdepan pasukan itu.

“Memang kita akui FELDA United sebuah pasukan yang baik dan kita hormati mereka, namun kita tetap lawan habis-habisan untuk mencipta kemenangan.

“Apa yang saya harap ialah pemain mampu mempamerkan aksi baik seperti sebelum ini dan harap penyokong membantu kami dengan datang beramai-ramai ke stadium untuk memberi sorakan kepada pemain,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pasukan yang turut popular dengan gelaran Sabah Rhinos itu kini menghuni tangga kedua liga, ketinggalan enam mata di belakang FELDA United selepas mengutip 12 mata hasil daripada tiga kemenangan dan tiga seri.

Sementara itu, Jelius berkata, pasukannya akan mendapat semula khidmat pertahanan berpengalaman, Maffry Balang yang sebelum ini terlepas aksi menentang UiTM FC kerana menjalani penggantungan permainan.

“Kesemua pemain bebas kecederaan dan siap sedia untuk diturunkan esok. Saya hanya akan melakukan sedikit perubahan terhadap kesebelasan utama iaitu memasukkan semula Maffry.

Kita juga mungkin kembali menggunakan semula formasi 3-5-2. Pada aksi lalu kita terpaksa menukar strategi menggunakan formasi 4-4-2 berikutan ketiadaan Maffry,” katanya.

Jelius dijangka mengekalkan Robson Rendy Rining sebagai benteng terakhir, dibantu tiga pertahanan iaitu ketua pasukan, Rawilson Batuil, Francis Kasonde serta Maffry. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.