3 Cedera Lori Muatan Kapur Terbabas

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki cedera selepas lori membawa muatan kapur yang dinaiki terbabas sebelum melanggar tebing batu selekoh di Kilometer 17.3 Jalan Genting-Kuala Lumpur, Genting, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, pemandu lori, Mohan Tharman, 33, tersepit di tempat duduk pemandu, manakala dua kelindan berusia 20-an berjaya keluar dari kenderaan terbabit dengan bantuan orang awam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands Yusri Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.55 pagi sebelum enam anggota bersama satu jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati pemandu lori terbabit tersepit di tempat duduk pemandu akibat kenderaan itu yang remuk teruk di bahagian hadapan.

ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan pemandu lori yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 17.3 Jalan Genting-Kuala Lumpur, Genting, hari ini.

“Kami mengambil masa lebih satu jam untuk mengeluarkan lelaki terbabit pada jam 5.15 pagi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Yusri berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila lori terbabit yang dalam perjalanan dari Serendah, Selangor ke Bentong, Pahang untuk menghantar bekalan kapur hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar tebing batu selekoh di lokasi kejadian.

“Kejadian itu menyebabkan tumpahan kapur di lokasi kejadian.

“Pemandu lori yang cedera dibawa ke Hospital Selayang, manakala dua kelindan berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.