Bukan Masa Sesuai Ulas Kisah Prebet Adam – KPN

SERI ISKANDAR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ketika ini bukan masa sesuai untuk beliau mengulas isu berkaitan Prebet Adam Jaafar yang kembali viral di media sosial.

Beliau berkata, perkara itu perlu diulas mengikut fakta kerana ia sudah lama berlaku.

“Saya tak ada fakta untuk (ulas) kisah Adam. Saya tak dapat maklumat dan jika mahu bercakap (mengenainya) kita perlukan alasan kukuh. Ia sudah selesai dan menimbulkan banyak spekulasi dan saya fikir masanya tidak begitu sesuai untuk keluarkan perkara sebegini.

“Saya juga perlu bercakap berdasarkan fakta,” katanya selepas menyertai dan melepaskan peserta Fit Masjid Fun Ride di perkarangan Masjid Sultan Yusuf Izzuddin Shah di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan dan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar semalam berhubung kenyataan keluarga Adam melalui adiknya, Hawa, 53, yang berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan menahan individu yang berterusan menyampaikan perkara tidak benar mengenai isu terbabit.

Kejadian amuk membabitkan Adam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987, pernah menggemparkan negara dan mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

Adam yang berumur 26 tahun ketika kejadian, terlepas daripada hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan selama 10 tahun kerana disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan berkenaan.

Isu mengenai kejadian Adam mengamuk itu kembali mendapat perhatian ramai pihak selepas Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tengku Ismail Sultan Ibrahim, menyatakan pendapat peribadinya dan mengkritik ‘individu berumur 93 tahun yang ingin menjadi Perdana Menteri’.

Mohamad Fuzi berkata, pihak yang paling layak mengulas berhubung kejadian itu adalah bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar kerana beliau menjadi Ketua Polis Negara ketika itu.

Sementara itu, menjelaskan kehadiran beliau pada majlis itu, Mohamad Fuzi berkata, ia bagi meraikan rakan lama, selain memenuhi beberapa jemputan bagi menghadiri program di Perak.

Semalam, Mohamad Fuzi menghadiri Program Polis Bersama Masyarakat Bebas Jenayah dan Dadah di Daerah Kerian dan beliau turut dijadualkan menghadiri Program Bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Bagan Datuk bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, petang ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.