BN Mampu Selesai Isu Pewarisan FELDA

KUALA LUMPUR – FELDA yakin isu perwarisan di semua tanah rancangan di negeri ini dapt diselesaikan dalam tempoh lima tahun akan datang jika Barisan Nasional (BN) terus berkuasa.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abd Samad, berkata isu pewarisan tanah rancangan di Johor boleh diselesaikan dengan kerjasama dan muafakat agensi lain dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Ia (penyelesaian isu pewarisan) boleh dibuat kerana membabitkan keluarga dengan kerjasama Mahkamah Syariah dan semua (agensi) peringkat negeri.

“Ia memang boleh dibuat dan tempoh lima tahun itu memang cukup,” katanya selepas majlis pelancaran Manifesto BN Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA) di sini, semalam.

Shahrir yang juga penyandang Ahli Parlimen Johor Bahru berkata demikian ketika diminta mengeulas mengenai tawaran BN Johor yang berjanji menyelesaikan semua isu perwarisan di tanah rancangan di negeri itu dalam tempoh lima tahun.

Sambut Baik Manifesto BN Johor

Isu pewarisan tanah rancangan sebelum ini menjadi perdebatan dalam kalangan generasi kedua FELDA terutama mengenai soal status tanah dan harta pusaka.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC), turut menyambut baik Manifesto BN Johor yang menawarkan janji memperkasa dan meningkatkan kesejahteraan warga FELDA.

“Ia sekali gus memberi kesinambungan pada strategi FELDA 2.0 menerusi beberapa tawaran diumumkan terutama kepada generasi baharu FELDA,” katanya.

Pengerusi BN Johor, Mohamed Khaled Nordin ketika mengumumkan Manifesto BN Johor semalam, menggariskan enam tawaran bagi memperkasa dan meningkatkan kesejahteraan warga FELDA.

Antaranya, membiayai kemahiran untuk 500 anak muda FELDA setahun untuk lima tahun akan datang dan membangunkan program transformasi sosia ekonomi FELDA menerusi strategi pengupayaan usahawan serta koperasi dalam kalangan generasi pelapis.

Janji lain ialah menjadikan FELDA sebagai wilayah pertumbuhan ekonomi luar bandar dengan fokus khusus sebagai lembah makanan dan agro pelancongan yang dinamik serta berdaya saing.

BN Johor turut berjanji mengekang penghijrahan generasi penerus FELDA dengan menyediakan peluang pekerjaan di kawasan tanah rancangan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.