Manifesto BN Johor Tidak Lupa Keperluan Anak Muda

SEGAMAT – Anak muda di sekitar daerah ini menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) Johor yang baru dilancarkan semalam sebagai menepati keperluan mereka.

Seorang daripadanya, Mohd Firdaus Mansor, 18, dari Bukit Siput, berkata tawaran manifesto itu membuktikan kerajaan negeri tidak pernah terlepas pandang akan keperluan anak-anak muda yang bakal menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Tipulah jika saya kata tidak ingin melanjutkan pelajaran ke IPT jika mendapat tawaran namun saya kena fikir juga beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga jika berjaya melanjutkan pelajaran.”

“Sekarang ini pun, saya bekerja secara sambilan sebagai pembantu kedai bagi mengumpul duit poket sebagai persiapan jika mendapat tempat di IPT.”

“Jadi, pengumuman bantuan RM1,000 kepada pelajar tahun satu yang memulakan pengajian di IPT itu sebenarnya tepat kerana dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung pelajar khususnya bagi mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi Shia Mazlan, 24, dari Felda Pemanis pula, dia tertarik dengan perancangan kerajaan negeri dalam menjadikan Johor sebagai pusat ‘freelancer economy’ dan ‘digital nomad’ kerana menurutnya, ia bakal membuka peluang kepada anak muda untuk menambah hasil pendapatan mereka menerusi perniagaan dalam talian.

Katanya, dia yang kini bekerja sebagai pembantu kedai pakaian wanita di Bandar Segamat hanya sekadar bergantung kepada gaji bulanan untuk menyara kehidupan. – BERNAMA

Leave a Reply