Sabah, FELDA Kekal Rekod Tanpa Kalah

KOTA KINABALU: Sabah berkongsi mata dengan FELDA United apabila seri 1-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi.

FELDA United memperolehi gol pertama hasil jaringan Iain Ramsay yang melakukan penyudah baik selepas kapten Sabah, Rawilson Batuil melakukan kesilapan di dalam kotak penalti pada minit ke-10.

Tersentak dengan jaringan itu, Sabah yang beraksi di hadapan lebih 8,000 penyokong cuba mencari jaringan penyamaan namun kelonggaran mereka di bahagian tengah gagal membahayakan kubu lawan.

Pengendali Sabah, Jelius Ating yang pada mulanya menggunakan formasi 3-5-2 kemudian melakukan perubahan taktikal pada minit ke-19 dengan memasukkan Randy Baruh bagi menggantikan Heo Jaenyong, seterusnya bermain dengan corak 4-4-2.

Perubahan itu ternyata membuahkan hasil apabila pasukan tuan rumah kembali menguasai bahagian tengah seterusnya melancarkan beberapa serangan bahaya ke kubu FELDA United.

Usaha mereka untuk menyamakan kedudukan akhirnya tercapai menerusi Hector Omar Ramos yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-33 selepas Lee Gil Hoon dijatuhkan di dalam kotak penalti dan kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Bermula separuh masa kedua, Sabah hampir mendahului FELDA United pada minit ke-46, bagaimanapun, cubaan Maxsius Musa berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Mohd Farizal Harun dalam keadaan satu lawan satu.

Pada minit ke-64, tandukan Lee Gil Hoon hasil sepakan sudut Sabri Sahar pula sedikit tersasar walaupun penjaga gol sudah tertewas.

FELDA United yang sekali sekala melakukan serangan hampir menembusi gawang Sabah apabila sepakan sudut Ramsay terus menuju ke pintu gol namun berjaya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Robson Rendy Rining.

Kedudukan 1-1 itu kemudian kekal sehingga tamat permainan dengan kedua-dua pasukan masih mengekalkan rekod tanpa kalah mereka, musim ini. – BH ONLINE

Leave a Reply