Ayah Buat Saya Menangis – Zahirah

KUALA LUMPUR: Jika pelakon lain janggal beraksi dengan darah daging sendiri dalam drama atau filem, aktres jelita, Zahirah Macwilson tidak kisah digandingkan dengan ayah dalam drama Tak Ada Cinta Sepertimu.

Zahirah dan bapanya, Zainol Macwilson memegang watak anak dan bapa dalam drama berkenaan yang pertama kali menggandingkan dirinya dengan aktor kacak, Syafiq Kyle.

“Mungkin ada yang rasa janggal atau malu berlakon dengan darah daging sendiri. Saya pula sebaliknya… Alhamdulillah, saya sangat gembira kerana dapat berlakon dengan ayah.

“Ini memudahkan saya menjiwai watak Athea. Ayah sering menyuntik semangat dan emosi terhadap karakter dibawa.

“Dalam drama ini, saya banyak bermain dengan air mata dan menyentuh jiwa. Ada satu babak di mana saya sukar menangis, namun, ketika ayah pandang mata saya dan beri kata-kata semangat, air mata mengalir dan proses penggambaran lancar,” katanya kepada BH Online.

Pernah beraksi dengan ayah dalam sebuah telefilem, Zahirah mengaku selesa sepanjang penggambaran.

“Berlakon dengan ayah sendiri lebih mudah kerana saya bebas mencium dan memeluknya,” katanya.

Ketika ini, Zahirah yang dilaporkan putus cinta dengan hero sasa, Zul Ariffin, sedang menjalani penggambaran drama Jangan Benci Cintaku terbitan Suhan Movies.

Drama itu dijangka menemui penonton slot Akasia, terbitan TV3, Jun depan. Naskhah itu menyaksikan Zahirah digandingkan bersama Saharul Ridzwan dan ‘terbang’ ke Perth, Australia untuk menjayakan beberapa babak. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.