Jalan Kok Foh-Kampung Sungai Kelai-Felda Palong Mudahkan Penduduk

JEMPOL – Penduduk di sekitar Kampung Sungai Kelai, Felda Palong dan Rompin berharap projek pembinaan jalan baru antara Kok Foh-Kampung Sungai Kelai-Felda Palong dapat disiapkan mengikut jadual.

Pembinaan jalan itu bermula pada Januari lepas dengan peruntukan RM42.1 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan dijangka siap pada Januari 2020.

Sambil menyambut baik projek kerajaan Negeri Sembilan itu, penoreh getah di Rompin, Mohamad Zulkifli Ali, 55, berkata jalan baharu itu bakal memberi banyak manfaat kepada penduduk sekitar terutamanya para penoreh daripada Palong ke Bahau kerana ia lebih dekat berbanding jalan lama.

“Kebiasaanya, perjalanan saya mengambil masa sejam untuk ke Bahau tetapi dengan adanya jalan baharu ini, walaupun ia belum siap sepenuhnya, saya hanya mengambil masa 30 minit untuk ke sana. Ini dapat menjimatkan masa dan kos,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Penjawat awam di Rompin, Zuzaini Zulkifli, 27, pula berkata jalan baharu itu memudahkan perjalanannya untuk menghadiri program komuniti yang kerap diadakan di sekitar kawasan Felda Palong. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.