Pelajar UIAM Cipta Todak Untuk Ronda Perairan Negara

KUALA LUMPUR: Todak biasanya dikaitkan dengan sejenis ikan yang mempunyai muncung yang panjang dan tajam tetapi lain pula ‘Todak’ yang dihasilkan oleh sekumpulan  pelajar dan pensyarah  dari Kulliyah Kejuruteraan Universiti  Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang boleh menjalankan rondaan di perairan.

Dikenali sebagai aset ketenteraan pertama yang dicipta oleh UIAM, Todak yang melambangkan ketangkasan dan dinamik direka khusus untuk memenuhi keperluan perisikan, pemantauan dan peninjauan (ISR) untuk tentera laut dan agensi maritim.

Menurut salah seorang pensyarah yang terlibat dalam projek itu, Prof Madya Dr Yasir Mohd Mustafah, 36, protaip kapal tanpa kawalan manusia atau unmanned surface vessel (USV) dicipta oleh empat pensyarah termasuk beliau dan 11 pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Mekatronik.

“Selain tugas peninjauan, Todak direka untuk melakukan tugas lain seperti pemetaan laut dan menyelamatkan anak kapal yang lemas,” kata beliau kepada Bernama di luar Persidangan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NatSec Asia) 2018 di sini, Isnin.

Ketika ditanya bagaimana kapal itu berfungsi, Yasir menjelaskan bahawa Todak dikawal oleh manusia menggunakan stesen daratan mobil, baik di daratan mahupun di atas kapal, dan boleh dikerahkan sehingga dua kilometer (km) dari stesen.

“Mereka yang mengendalikan stesen daratan mobil boleh memantau keadaan secara ‘live’ menerusi video definisi tinggi yang dirakamkan oleh kamera peluru infra-red yang dipasang di atas kapal.

“Jika terdapat penceroboh yang cuba menyerang perairan, Todak boleh digunakan untuk menangani mereka dan menghasilkan bunyi siren sementara mereka yang mengendalikan peranti boleh mengeluarkan amaran dari daratan,” kata  beliau dan menambah ciri-ciri lain termasuk lampu sorot (spotlight) dan laser designation.

Mengenai spesifikasi teknikal, beliau berkata kapal itu yang berharga RM50,000 seunit berukuran 1.75 meter (m) panjang dan 0.85 m lebar serta menggunakan kuasa enjin penebat elektrik dengan kelajuan maksimum 5 km satu jam.

Beliau berkata projek itu yang dimulakan pada 2015 adalah hasil kerjasama antara UIAM, Deftech (DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti). – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.