Jari Polis Kena Empat Jahitan Ditoreh Kerambit

SELAMA: Seorang anggota polis terpaksa menerima empat jahitan di jari kanannya selepas ditoreh dengan kerambit oleh seorang suspek pengedar dadah di tepi jalan Parit Dalam, Sungai Bayor, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang, anggota polis berpangkat Koperal itu cedera ketika bergelut dengan suspek sebelum berjaya memberkasnya.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Mohd Sabri Saad, berkata terdahulu suspek melarikan diri ke dalam hutan paya berhampiran jalan itu apabila cuba ditahan sepasukan polis dalam Ops Tapis Khas.

“Suspek diminta menyerah diri tetapi enggan memberi kerjasama, sebaliknya berteriak mengeluarkan kata ugutan mahu menikam anggota polis yang mendekati.

“Anggota polis bertindak mendekati suspek sehingga berlaku pergelutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Sabri berkata, selepas suspek berjaya ditangkap dan ditenangkan, anggota polis membuat pemeriksaan terhadap satu beg silang berwarna coklat padanya dan menemui dua peket plastik disyaki mengandungi dadah jenis heroin seberat 23 gram (g) serta syabu seberat 0.5g.

Beliau berkata, polis turut merampas senjata jenis kerambit dimiliki suspek dan kereta Honda Accord warna hitam yang dinaikinya.

“Pemeriksaan fizikal ke atas suspek mendapati badan dan mukanya bercalar serta bengkak akibat pergelutan itu, manakala anggota yang cedera dihantar ke Hospital Selama serta menerima rawatan pesakit luar,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan anggota polis berkenaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.