‘Kawan Setia Hadiah Bermakna Selepas 47 Tahun’

KUALA LUMPUR: Selepas dipetik Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017, lagu Kawan Setia dendangan Datuk DJ Dave digubah semula dan dipakej dalam album khas oleh bintang veteran itu.

Diabadikan dalam album khas Nada Seni Ritma Negara – Kawan Setia, Dave terharu bait lirik lagu terbabit dipetik Perdana Menteri dan Presiden Umno itu, selepas hampir lima dekad berjuang sebagai anak seni.

“Ini suatu penghargaan besar buat saya selepas 47 tahun terbabit dalam dunia seni. Saya tidak pernah minta apa-apa dan penghargaan itu membuatkan saya rasa terhutang budi,” katanya pada majlis pelancaran album Nada Seni Ritma Negara – Kawan Setia di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Penasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Prof Khairil Annas Jusoh dan penggiat seni tanah air.

Pada PAU 2017, Disember lalu, bait-bait lagu Kawan Setia dijadikan Najib sebagai perlambangan hubungan akrab dengan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

PENASIHAT Perdana Menteri, Datuk Seri Prof Khairil Annas Jusoh (dua dari kanan) bersama Pengerusi Yayasan Artis Malaysia, Datuk DJ Dave (tiga dari kiri) melancarkan Album Khas Nada Seni Ritma Negara – Kawan Setia hari ini. – Foto BERNAMA

Najib ketika itu dilaporkan menyebut:

“Saya masih ingat pada bait-bait lagu DJ Dave… Jangan suruh saya menyanyi,” katanya yang kemudiannya mengungkapkan lirik lagu berkenaan.

Dave berkata, idea menerbitkan album khas itu tercetus selepas insiden lagu Kawan Setia disebut Najib.

“Tercetuslah ilham di mana Pejabat Penasihat Perdana Menteri bersama Yayasan Perdana Ummah serta Yayasan Mustika Kasih mengembangkan lagi hasrat Perdana Menteri kita.

“Saya harap bukan Perdana Menteri saja tapi orang ramai, tak kira bangsa dan kaum boleh terhibur dengan lagu yang saya hadiahkan dalam versi yang lebih segar ini,” katanya.

Album khas Nada Seni Ritma Negara – Kawan Setia memuatkan dua lagu yang digubah semula komposer, S Atan iaitu Kawan Setia dan Negaraku Tercinta.

Penghasilan album itu juga dianggap tanda keprihatinan kerajaan yang sentiasa menyokong anak seni tempatan.

Pada majlis sama, artis veteran iaitu Mimi Loma, Ben Nathan, Datuk Dahlan Zainuddin, Wan Maimunah, Fredo, Amran Tompel dan ramai lagi turut diberi bantuan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.