Luar Bandar Akan Kekal Sebagai Deposit Tetap BN

JITRA: Kawasan luar bandar diyakini akan kekal sebagai deposit tetap undi Barisan Nasional (BN) berikutan komuniti itu menghargai segala kemudahan dan bantuan kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pengundi luar bandar akan menzahirkan ucapan terima kasih mereka menerusi undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, ini berdasarkan maklum balas diterimanya sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Masyarakat luar bandar bijak menilai segala perkara dilakukan kerajaan, terutama KKLW dalam memacu kemajuan desa. Pada PRU sebelum ini, penduduk kampunglah yang banyak beri undi kepada BN.

“BN sudah bersama rakyat sejak merdeka dan telah membangunkan negara. Hanya BN yang mampu memberi apa yang rakyat mahukan, terutama masyarakat luar bandar.

“Parti lain termasuk parti baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kini terpaksa dibubarkan sementara dan Pakatan Harapan tidak akan mampu memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Desa Digital Peringkat Kebangsaan di Mini RTC Kampung Bemban, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, baginya PPBM sebelum ini hanya ditubuhkan untuk meraih undi Melayu di luar bandar selepas PKR gagal membantu DAP untuk berbuat demikian.

Malah, beliau turut kesal dengan sikap sesetengah kepemimpinan kerajaan negeri pembangkang yang seolah-olah `lepas tangan’ dalam membela masyarakat di luar bandar.

“Pembangkang yang menguasai negeri tertentu tidak boleh `lepas tangan’ dan hanya mengharap Kerajaan Persekutuan. Mereka juga ada Exco luar bandar yang sepatutnya menggalas amanah ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.