Pelan Jangka Panjang FELDA Bantu Kurangkan Hutang Peneroka

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berjaya mengurangkan hutang peneroka menerusi pelan jangka panjang yang diperkenalkan agensi itu pada tahun lepas.

Pelan itu, yang melibatkan perubahan struktur, diperkenalkan pada 23 Julai 2017 bagi menyelesaikan isu hutang tanam semula yang membebankan peneroka.

Pelan itu merangkumi pelupusan hutang tanam semula bernilai RM5,000 bagi semua peneroka yang bersama FELDA.

“Seramai 7,839 peneroka telah bebas hutang pembangunan ladang dan untuk itu mereka dipilih bagi menerima insentif tersebut secara tunai sebanyak RM5,000 setiap orang,” kata FELDA dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, FELDA melupuskan lebihan hutang tanam semula bagi pembangunan ladang peneroka yang melebihi kos biasa dengan dana khas sebanyak RM300 juta yang diperuntukkan bagi tempoh lima tahun bermula tahun ini.

FELDA berkata insentif geran khas tanam semula sebanyak RM7,500 sehektar juga disediakan kepada peneroka yang bersama-sama sistem FELDA.

“Model ini dapat mengurangkan beban hutang pembangunan tanam semula sehingga 70 peratus, sekaligus meningkatkan aliran tunai peneroka semasa tempoh bayaran kembali hutang kelak,” menurut kenyataan itu.

FELDA berkata kejayaan pelan itu sekali gus menolak dakwaan yang tular di media sosial berhubung model hutang FELDA, yang kononnya dijadikan alat untuk menjerat peneroka dan menyebabkan hutang mereka meningkat setiap tahun.

“Tuduhan ini sangat tidak berasas dan tidak bersandarkan kepada fakta sebenar. Seramai 112,635 peneroka berhak untuk mengetahui fakta sebenar agar mereka tidak dikelirukan dan termakan tuduhan tersebut,” kata FELDA.

Menjelaskan mengenai pinjaman semasa tempoh tanam semula itu iaitu pinjaman pembangunan ladang, pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil, FELDA berkata pinjaman-pinjaman itu bersifat pilihan kepada peneroka.

“Tambahan pula, peneroka mempunyai kemampuan untuk membuat bayaran balik hutang mereka melalui hasil kebun. Sekiranya peneroka mempunyai sumber pendapatan lain, mereka bebas untuk tidak mengambil kemudahan pinjaman ini,” kata FELDA. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.