Demi Anak Autisme, Edry Bakal Berhijrah Ke Eropah

KUALA LUMPUR: Anggota KRU, Edry Abdul Halim, 41, bakal membawa keluarganya memulakan hidup baharu di Eropah bagi membolehkan anak ketiganya yang menghidap autisme menerima pendidikan terbaik.

Katanya, perkara itu sudah dibincangkan dengan seluruh ahli keluarga selepas Emery yang bakal mencecah usia 10 tahun masih belum boleh bertutur dan ia dilakukan untuk membantu perkembangan anaknya itu.

“Selama ini, kerja saya mengajar orang lain. Saya tertanya-tanya, kenapa tidak saya tumpukan perhatian penuh kepada anak istimewa sendiri. Demi masa depannya, kami sekeluarga sedia berhijrah, mungkin untuk setahun dua dahulu.

“Saya dan isteri belum putuskan lagi lokasinya, tetapi di Eropah. Bukan tiada pusat pendidikan yang bagus di sini, namun kemudahan untuk kanak-kanak autisme di sana lebih lengkap.

“Sepatutnya kami bertolak bulan depan, sehari selepas Konsert Gergasi KRU 25. Disebabkan puasa dan raya sudah dekat, kami tangguhkan pemergian selepas Aidilfitri,” katanya pada sidang media khas di sini, petang tadi.

Terdahulu, pada acara sama, KRU yang turut anggotai dua abangnya, Datuk Norman dan Yusry membuat pengumuman untuk membubarkan kumpulan itu secara rasmi pada hari terakhir konsert iaitu 6 Mei ini.

Persembahan mega selama tiga malam sempena ulang tahun ke-25 penubuhan KRU akan diadakan di Istana Budaya turut menjadi konsert selamat tinggal mereka.

Edry berkata, mereka sepakat bersara kerana sudah tiada apa lagi yang mahu dikejar, selain ingin menumpukan perhatian terhadap komitmen masing-masing.

“Kami tidak pernah merancang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada nyanyian selepas 25 tahun bersama, tetapi sudah tiba masanya kami berundur. Saya sendiri ingin memberikan sepenuh tumpuan kepada keluarga terutama Emery.

“Dari segi bisnes, kami tetap usahakan bersama-sama dengan bantuan teknologi. Segala tugasan penerbitan dan sebagainya akan tetap diteruskan seperti biasa. Terima kasih kepada semua yang menyokong KRU sejak 25 tahun lalu,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.