‘Memang Dia Hadiahkan Cincin Itu’ – Nelydia

SHAH ALAM: Pelakon jelita, Nelydia Senrose, 23, mengesahkan cincin yang dimuat naik di laman Twitter pada 12 April lalu adalah pemberian jejaka yang dikenali sebagai Hafiz, namun menafikan dirinya sudah dirisik.

“Ia bukan cincin tanda atau risik. Saya hanya mohon semua pihak mendoakan yang terbaik. Bukan mahu berahsia atau menyorokkan sesuatu, tetapi saya bimbang hal sama berulang seperti hubungan sebelum ini.

“Tetapi, saya berjanji akan kongsi perkara yang baik jika sudah ada kepastian. Saya tidak mahu terlalu bercerita benda yang belum pasti hujung pangkalnya,” katanya.

Nelydia ditemui pada pertunjukan fesyen koleksi raya Impian By Nelydia untuk Starvilion Lebaran 2018 di sini, petang tadi.

Isu cincin yang disarung Nelydia menjadi bualan hangat netizen, baru-baru ini, sekali gus mencetuskan andaian dirinya sudah dilamar jejaka yang dikenalinya tidak sampai setahun.

Ditanya mengenai statusnya, adik kepada Uqasha Senrose itu menegaskan, dirinya masih solo.

“Saya bukan tunangan sesiapa. Selagi belum berkahwin, saya masih hak milik ibu bapa,” katanya.

Mengenai status Hafiz yang dikatakan jutawan, Nelydia tidak mempunyai jawapan pasti. Pelakon Setia Hujung Nyawa itu bagaimanapun, mengakui dia sudah bersedia meninggalkan zaman gadisnya.

“Secara peribadi, saya sudah bersedia melangkah ke gerbang perkahwinan. Seperti orang lain, saya juga mendoakan pengakhiran yang baik sekiranya menjalin hubungan cinta,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.