Transformasi FELDA 2.0 Bantu Tingkatkan Pendapatan Peneroka

BANGI – Transformasi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) 2.0 bakal mengurangkan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar, kata Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata pelancaran Felda 2.0 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari lepas, dalam mewujudkan sebuah komuniti Felda yang pintar, mampan dan berdaya tahan serta lestari dari segi ekonomi serta alam sekitar hanya akan berjaya menerusi komitmen peneroka sendiri.

“Felda menjadi peneraju dalam agenda transformasi luar bandar…ini bermaksud melakukan perubahan dan pembangunan luar bandar di negara ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup Konvensyen Pembangunan Koperasi Felda 2018 di sini hari ini.

Konvensyen bertemakan ‘Melestarikan Koperasi Felda’ itu berlangsung selama tiga hari mulai Selasa lepas. Majlis penutup itu disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Shahrir berkata lebih 1,000 peserta dari semua koperasi tanah rancangan Felda menyertai konvensyen itu yang bermatlamat memperkasa peranan koperasi sejajar dengan hala tuju dan dasar koperasi kebangsaan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.