1,000 Telur Penyu Dirampas Di Sematan, Sarawak

KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak merampas 1,000   telur penyu bernilai RM2,000 daripada sebuah premis perniagaan di Sematan, dekat Lundu kira-kira 100 kilometer dari sini pagi Khamis.

Komander PPM Wilayah Lima Sarawak ACP Salehuddin Mat Zaman berkata selain merampas  telur  penyu itu, seorang wanita penjaga premis terbabit turut ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya rampasan dan tangkapan itu dilakukan sepasukan enam anggota Unit Risikan Marin (URM) diketuai ASP Pangji B Eseng hasil risikan dan maklumat awam.

“Sekitar 11 pagi tadi, semasa melakukan pemeriksaan di premis tersebut, anggota URM telah menjumpai sebanyak 280 telur penyu di bawah meja dan 720 dalam peti sejuk di premis tersebut.

“Semasa pemeriksaan terdapat seorang penjaga premis seorang wanita warga tempatan berumur 37 tahun dan gagal menunjukkan sebarang dokumen dan lesen bagi memiliki dan menjual telur tersebut yang disyaki untuk tujuan pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam Khamis.

Beliau berkata telur penyu itu dirampas dan wanita itu ditahan untuk membantu siasatan di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

“Kes telah diserahkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Salehuddin meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang terutama di kawasan perairan dan pesisir supaya menghubungi terus ke Ibu Pejabat PPM Wilayah 5 di talian 082-334111. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.