Gabungan Pembangkang Selangor Macam Di Semenanjung Gaza – Sallehen

SHAH ALAM: PAS Selangor menyindir kekalutan yang berlaku dalam pakatan pembangkang di negeri ini dengan menyamakan keadaan itu tidak ubah seperti di Semenanjung Gaza.

Sindiran itu dipercayai merujuk kepada perbalahan dalam gabungan pembangkang itu berhubung agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor serta isu dalaman Parti Amanah Negara (PAN) mengenai pemilihan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pesuruhjaya PAS negeri, Sallehen Mukhyi berkata, ia berbeza dengan PAS yang berjaya menguruskan isu dalaman parti dengan baik, walaupun diuji dengan pelbagai masalah.

“PAS Selangor mendahului musuh politik lain dari segi pengumuman manifesto dan calon. Saya dengar kawan kita (PAN) selalu (berperang) tidak ubah seperti Semenanjung Gaza,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pengisytiharaan Calon PAS Selangor di Dewan Perkim Village di Seksyen 8, di sini, malam ini.

Hadir sama Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Rabu lalu, Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad berkata, parti itu bakal bertanding di 10 daripada 56 kerusi DUN Selangor pada PRU-14.

Difahamkan beberapa pemimpin PAN tidak berpuas hati dengan agihan itu seolah-olah dipinggirkan dalam pakatan pembangkang.

Semalam, bekas Pengarah Biro Pilihan Raya PAN Selangor, Jaafar Samsuddin turut mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti.

Beliau yang mengesahkan peletakan jawatan dan keluar parti menerusi satu surat dihantar kira-kira jam 4 petang semalam berkata, pandangan ahli bawahan yang disuarakannya sejak lebih setahun lalu, tidak diendahkan pimpinan parti berkenaan.

Beliau turut menyatakan perasaan terkilan dan kecewa apabila Presiden PAN, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang dikatakan bakal bertanding di Parlimen Kota Raja, tidak pernah bercakap mengenai perkara itu bersamanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.