Suhaimi Saad Dikecam Tak Bersyukur Buang Ubat Hospital

PENYANYI nasyid Suhaimi Saad menganggap tindakan seorang doktor yang menulis surat terbuka kepadanya sekadar satu taktik untuk menumpang populariti atas isu yang sedang tular.

Suhaimi, 38, yang juga suami kepada Ina Naim dikecam ramai setelah berkongsi cerita di laman Facebook mengenai keputusannya untuk membuang ubat yang diperolehi dari sebuah hospital kerajaan, Khamis lalu.

Seorang pengamal perubatan, Dr Ahmad Zakimi Abdullah menerusi laman Facebook menyelar Suhaimi dan menganggap tindakan penyanyi itu menjengkelkan serta memalukan umat Islam.

Suhaimi ketika dihubungi mStar Online bagaimanapun menafikan tuduhan bahawa dia anti hospital dan menganggap isu itu sengaja diperbesarkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Saya hanya berkongsi pengalaman sahaja, bukannya saya berbangga buang ubat ataupun berniat nak hina pihak hospital.

“Tapi mungkin kesilapan saya berkongsi perkara itu di Facebook sehingga disalah tafsir oleh orang ramai. Kalau doktor itu ikhas, boleh saja hubungi saya secara peribadi, bukannya buat surat terbuka,” ujar Suhaimi.

Dia yang juga bekas anggota kumpulan InTeam turut mengambil keputusan untuk memadam dan menyekat mana-mana komen di ruangan Facebooknya jika ada yang masih bercakap mengenai isu berkenaan.

Jelasnya, dia tidak mahu memanjangkan isu itu kerana banyak lagi perkara lain yang perlu dilakukan dalam kehidupan sehariannya.

 

Dalam kejadian pada minggu lalu, Suhaimi telah berkunjung ke sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan bagi membuat pemeriksaan kerana mengalami sakit perut.

Dia bagaimanapun diberitahu mengalami masalah pembuangan air dan diberi ubat bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Saya tahu mengenai diri saya. Saya tiada masalah buang air. Jadi, tiada guna ubat itu diberi kepada saya.

“Saya pun tak biasa dengan hospital dan tak tahu mengenai kewujudan kaunter pemulangan ubat. Sekembalinya ke rumah, saya buang jelah.

“Bila dah tular, selain komen pasal ubat, ada pula yang kaitkan dengan hal anak isteri saya. Pada saya, ada cara yang betul untuk menegur,” katanya lagi.

 

 

Dalam pada itu, surat terbuka doktor berkenaan yang ditujukan khas buat Suhaimi mendapat perhatian ramai sejak ia dimuat naik, Selasa.

Pengamal perubatan itu menerusi surat terbukanya mengakui terkilan dengan tindakan ‘kurang sihat’ Suhaimi.

Rata-rata netizen turut senada dengan pandangan doktor itu dan menanggap tindakan Suhaimi keterlaluan dan seolah-olah tidak tahu erti bersyukur.

Sehingga hari ini, ia dikongsi hampir tiga ribu pengguna Facebook dan menerima lebih seribu komen. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.