Kanser: Kadar Pendedahan Terhadap GE, 3-MCPD Dalam Marjerin Rendah

KUALA LUMPUR: Kadar pendedahan pengguna di Malaysia terhadap glycidyl esters (GE) dan 3-MCPD (3-monochloropropane-1,2-diol) esters yang berkemungkinan boleh menyebabkan kanser melalui pengambilan marjerin adalah rendah dan tidak mendatangkan risiko kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan menjalankan pemantauan kandungan GE dan 3-MCPD esters ke atas beberapa produk marjerin di negara ini.

“Bagaimanapun, sehingga kini tiada maklumat saintifik yang jelas mengenai peratus kandungan GE dalam makanan yang boleh bertukar kepada glycidol dalam usus.

“Glycidol merupakan bahan terhasil daripada penguraian GE dalam usus. GE adalah sejenis bahan cemar yang dikesan dalam semua jenis minyak dan lemak sayuran terhasil semasa proses penapisan pada suhu tinggi melebihi 240°C,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata kementerian mengambil maklum laporan portal dalam talian bertajuk ‘Shocking Analysis Reveals A Causing Substances in These Brands of Margarine’ melalui pautan https://www.worldofbuzz.com/shocking-analysis-reveals-cancer-causing-substances-in-these-18-brands-of-butter/ pada 16 April lepas.

Akhbar tersebut melaporkan pihak Majlis Pengguna Hong Kong mendapati 18 jenama marjerin di pasaran Hong Kong mengandungi glycidol (epoxy propanol) dan 16 jenama marjerin pula dikesan mengandungi 3-MCPD yang berkemungkinan boleh menyebabkan kanser.

Dr Noor Hisham berkata sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di www.facebook.com/bkkmhq. – BERNAMA

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.