Generasi Kedua, Ketiga Nikmati Limpahan Manfaat Felda

TANJUNG MALIM – Pada zaman kanak-kanaknya, kehidupan Sulong Jamil Mohd Shariff, 58, sungguh susah dan serba kekurangan, ada kalanya beliau terpaksa mengikat perut terutama pada musim tengkujuh kerana ibu bapanya tidak dapat menoreh getah.

Namun, keputusan Allahyarham bapanya, Mohd Shariff Hassan menyertai skim rancangan tanah untuk keluarga miskin di Felda Sungai Behrang, Slim River 50 tahun yang lalu (1968) telah mengubah nasib dan masa depan keluarganya.

Sebagai generasi kedua Felda, bapa kepada enam anak yang kini merupakan Ketua Peneroka Felda Wilayah Trolak itu menikmati pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan untuk peneroka Felda. Selain diberi peluang pendidikan, perkampungan Felda dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.

Limpahan nikmat itu diperturunkan kepada anak-anaknya yang mana ada antara mereka telah melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, bekerja dan menjalani kehidupan yang lebih selesa.

“Kita (peneroka) perlu sentiasa bersyukur, berlapang dada dan bersatu hati mempertahankan apa yang dimiliki. Paling penting janganlah mempercayai fitnah yang memburukkan nama baik tanah rancangan ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.