Giroud, Morata Pacu Chelsea Ke Final

LONDON: Kelicikan Olivier Giroud serta tandukan pemain gantian, Alvaro Morata membolehkan Chelsea menang 2-0 ke atas Southampton di Wembley, sebentar tadi sekali gus melangkah ke final Piala FA menentang Manchester United bulan depan.

Giroud bertindak cemerlang menggelecek tiga pertahanan lawan sebelum memperdaya penjaga gol, Alex McCarthy pada awal babak kedua permainan untuk menghasilkan gol pertama hasil hantaran Eden Hazard.

“Saya seronok bermain di sini (Wembley) dan saya tidak pernah dikalahkan di sini. Justeru, saya harap ia akan berterusan hingga final nanti,” kata Giroud. Dia menyarung jersi Arsenal ketika mengalahkan Chelsea di final tahun lalu.

Morata yang masuk menggantikan Giroud menggandakan kelebihan Chelsea pada minit ke-82 apabila menanduk masuk hantaran lintang Cesar Azpilicueta.

Southampton tidak langsung mengancam pada sebahagian besar perlawanan tetapi bertahan dengan baik di sepanjang babak pertama walaupun cubaan penyerang Chelsea singgah di palang mereka.

Saints terpaksa meninggalkan kawasan mereka selepas jaringan Giroud dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-72 tetapi penjaga gol Chelsea, Willy Caballero berjaya menepis cubaan Nathan Redmond.

Satu jaringan Southampton dibatalkan pengadil apabila Charlie Austin didakwa mengasari penjaga gol. Cubaan Austin pada hujung perlawanan pula singgah di tiang.

Chelsea akan bertemu skuad kendalian Jose Mourinho di Wembley pada 19 Mei selepas Manchester United mengalahkan Tottenham Hotspur 2-1, semalam.

Pertembungan itu akan menambah ketegangan antara bekas pengurus Chelsea, Mourinho dengan pengendali semasa, Antonio Conte.

Hazard yang pernah beraksi di bawah kedua-dua jurulatih itu berkata: “Kami sudah memberikan segala-galanya. Kami bermain baik terutamanya di babak kedua dan mengawal perlawanan.

“Kini kami sudah ke final dan kami akan fikirkan apa yang perlu kami lakukan nanti.”

Chelsea menduduki tangga kelima Liga Perdana tetapi Hazard berkata, mereka tidak pernah berputus asa dan akan terus berusaha menempatkan diri ke dalam kelompok empat teratas bagi melayakkan diri secara automatik ke Liga Juara-Juara dan pada mas sama, mahu menjulang Piala FA. – Reuters

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.