KL Tak Perlu Malu Tewas Di Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Penolong jurulatih Kuala Lumpur, Yee Fatt Chong mengakui kegagalan mara ke separuh akhir Piala FA mengecewakan pemainnya meskipun bangkit menewaskan Selangor 3-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Kemenangan yang diraih itu membolehkan Kuala Lumpur mengikat agregat 3-3 namun selepas 120 minit beraksi, mereka terpaksa akur dengan kekalahan menerusi sepakan penalti 8-7 kepada musuh tradisi Lembah Klang itu.

Menurut Fatt Chong yang mengambil tugas berada di tepi padang selepas jurulatih Fabio Maciel digantung dua perlawanan, anak buahnya sudah melakukan yang terbaik untuk mencari tiket ke separuh akhir selepas kali terakhir pada 2005.

“Kami sudah melakukan yang terbaik. Tiada apa lagi yang saya boleh minta daripada pemain. Penentuan sepakan penalti bergantung kepada nasib.

“Memang kecewa, berdasarkan rancangan kita mahu mendapatkan gol awal dan menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit kerana dalam penentuan sepakan penalti, apa saja boleh berlaku,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Tewas 0-3 pada suku akhir pertama tidak melunturkan semangat skuad The City Boys yang bangkit mengikat agregat menerusi jaringan Zaquan Adha Bad Radzak, Paulo Josue dan Syazwan Andik.

Bagaimanapun, mereka tewas 8-7 pada penentuan sepakan penalti apabila sepakan kapten Indra Putra Mahayuddin dan Firdaus Faudzi berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Fatt Chong bagaimanapun mempertahankan taktikalnya yang hanya menggunakan seorang pemain gantian iaitu Hafiz Johar ketika Kuala Lumpur seharusnya terus menekan Selangor ketika mendahului 3-0.

“Kami percaya dengan pemain yang berada di dalam padang, kami tak mahu ganggu rentak permainan. Bila kami tanya kepada pemain mengenai tahap kecergasan, mereka semua cakap OK,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.