‘Merajuk Dua Hari Cukup’ – Nasihat Shahrir

JOHOR BAHRU: Mereka yang tidak terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dinasihatkan memelihara ketenangan diri demi kelangsungan parti.

Penyandang Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad, berkata tindakan seperti mensabotaj parti perlu dijauhi dalam detik genting seperti ini.

“Kalau dalam (bahagian) Johor Bahru, saya bagi dua hari saja untuk mereka (yang tidak terpilih) merajuk, lepas tu bukalah semula bilik gerakan.

“Tak guna berterusan merajuk kerana yang perlu ada pada ahli BN adalah disiplin sebagai parti yang matang, keutamaannya menentukan kemenangan dalam pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian taska Muafakat Yayasan Bandaraya Johor Bahru dan penyampaian baucar subsidi yuran taska bagi golongan B40 di Desa Hajah Hasnah di sini, hari ini.

Terdahulu, Shahrir yang juga Pengerusi FELDA merasmikan ‘fun walk’ sempena Hari Kesihatan Sedunia di Taman Suria di sini.

Beliau turut mengingatkan tiada calon sempurna dalam sesuatu pilihan raya.

“Masing-masing ada keadaan (kekuatan) tersendiri. Selaku ketua bahagian di sini (Johor Bahru), saya akan pastikan ketiga-tiga calon Parlimen dan dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya dalam PRU-14,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.