Michael Ang Reka Baju Melayu Untuk Bertubuh Besar

SHAH ALAM: Budaya Melayu yang begitu dekat di hati pengarah, Michael Ang mencetuskan ilham kepadanya untuk tampil dengan rekaan baju Melayu sempena sambutan 1 Syawal nanti.

Pengarah Hero Seorang Mr Cinderella itu berkata, usahanya itu juga menjadi bukti kesungguhannya menerap kembali nilai penyatuan sesama kaum supaya terus subur dan tidak terhakis ditelan masa.

“Sesiapa yang mengenali dan mengikuti karya saya, pasti tahu jiwa saya begitu dekat dengan budaya Melayu. Dulu, apabila ada undangan majlis perkahwinan, kami sekeluarga begitu bersemangat menyarung baju Melayu.

Begitu juga apabila sambutan Tahun Baharu Cina, rakan Melayu dan India pula akan memakai baju tradisional kami. Saya mahu menyuburkan kembali semangat itu dengan menghasilkan rekaan baju Melayu khusus untuk digayakan semua kaum.

“Menerusi rekaan ini saya mahu menerapkan kembali nilai bersatu hati dalam kalangan masyarakat kita,” katanya kepada BH Online.

Michael yang ditemui pada majlis pertunjukan fesyen koleksi raya untuk Starvilion Lebaran 2018, di sini, baru-baru ini berkata, koleksi raya yang diperkenalkan itu khusus buat mereka yang berbadan besar.

“Tahun lalu, saya menghasilkan kurta dan kali ini, saya tampil dengan rekaan baju Melayu khusus buat mereka yang bertubuh besar.

“Susah sebenarnya mahu mencari rekaan baju Melayu yang sesuai untuk lelaki bersaiz besar. Kalau ada pun, saya perlu membuat pindaan kerana potongannya tidak menepati selera.

“Saya yakin, menerusi idea ini, golongan berbadan besar akan dapat menggayakan baju Melayu dengan selesa. Istimewanya, samping yang disertakan boleh digayakan beberapa cara, malah dapat melindungi perut,” selorohnya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.