5 Perkara Peneroka FELDA Wajib Tahu

Tanah rancangan Felda amat dekat dihati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan ianya merupakan cetusan idea bapanya sendiri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Dilancarkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956, Felda ditubuhkan dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui projek pertanian, khususnya bagi produk getah dan sawit.

Walaupun kerajaan dibawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1990 memutuskan tidak lagi memberi bantuan kepada Felda, kerajaan semasa dibawah kerajaan Najib tidak meminggirkan kebajikan masyarakat tanah peneroka.

Ini dibuktikan apabila Najib selaku Pengerusi BN menyertakan agenda khas untuk masyarakat Felda didalam manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Manifesto khas Felda merangkumi insentif khas kepada peneroka, program perumahan, jaminan pendidikan, pembangunan komuniti peneroka, dan program keusahawanan komuniti Felda.

1. Insentif khas

Sebanyak 94,956 keluarga peneroka bakal menerima Insentif Khas Peneroka bernilai RM5,000 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM474.78 juta. Bagi peneroka yang sudah menjalankan program penanaman semula, sebanyak RM5,000 pelupusan tunai akan diberikan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM300 juta.

Sementara bakal peserta program sama pula akan menikmat geran bernilai RM7,500 setiap hektar menerusi Geran Khas Tanam Semula Peneroka.

BN juga akan melupuskan sebahagian baki pinjaman FGV melibatkan 77,934 peneroka dengan kadar ringgit ke ringgit.

2. Program Perumahan

Sebanyak 5,000 Rumah Mesar Rakyat Felda dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad akan dibina dan peruntukan RM164 juta bagi tujuan berkenaan sudahpun diluluskan kerajaan dibawah Bajet 2018.

Rumah komuniti tersebut bakal memberi manfaat langsung kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

3. Jaminan Pendidikan

Dalam usaha memastikan kecemerlengan anak-anak Felda Dana Kecemerlangan Pendidikan FELDA (DKPF) akan diterbitkan khusus kepada pelajar tahun 6 dan tingkatan 5 di semua 270 sekolah rendah dan 101 sekolah menengah di tanah rancangan Felda.

Bantuan pelajaran ke peringkat universiti juga akan diteruskan dimana RM500, RM1,000 dan RM1,500 diperuntukkan masing-masing kepada anak Felda yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma, program Ijazah dalam negara dan Ijazah luar negara.

Semenjak April 2016, cucu peneroka Felda dan anak kakitangan Felda turut menerima 30% pengurangan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Pelajaran Tinggi Negara (PTPTN) dimana BN komited untuk meneruskannya.

4. Pembangunan Komuniti Peneroka

Sedar atau tidak, RM43,136,520 telah dibelanjakan kerajaan bagi tujuan infrastruktur untuk tahun 2016 sahaja melibatkan pembinaan 72 bangunan baharu, 113 bangunan diselenggara dan 49 projek pemulihan bencana alam.

Sebanyak 264 Pusat Literasi Keluarga disamping 92 Pusat Dalam Komuniti untuk golongan kelainan upaya (OKU) juga telah dibina.

Disamping itu, sebanyak RM2 juta dibelanjakan bagi tujuan bantuak penyakit kronik dibawah Tabung Kebajikan Peneroka yang turut menyediakan RM500,000 untuk bantuan pembelian peralatan dan RM500,000 bantuan bencana alam.

5. Keusahawanan Komuniti Felda

Sehingga kini, seramai 23,036 usahawan Felda dilahirkan memberi pendapatan dari luar hasil ladang sebanyak RM1.792 bilion. Kerajaan juga menjalankan program Satu Wilayah Satu Industri (SAWARI) dan berjaya mengutip hasil jualan sehingga RM2.476 juta pada 2016 sahaja.

Sebagai sumber pendapatan tambahan, Program Inap Desa yang menyediakan 442 rumah penginapan semenjak 2015 membuka ruang pelancongan di tanah rancangan Felda memberi dana terkumpul sehingga RM1.279 juta pada 2015 dan meningkat kepada RM1.475 juta pada tahun berikutnya.

Respon Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad terhadap manifesto khas BN di Felda menjelaskan bahawa rancangan BN lebih tersusun berbanding konsep ‘transformasi’ oleh Pakatan Harapan yang sudahpun dilaksanakan oleh BN.

Kata Shahrir, pendekatan BN lebih bersifat holistik dan memberi faedah kepada semua. – MALAYSIAN DIGEST

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.