Rezeki Shahrol Shiro Murah Sejak Pindah Ke Johor

KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio, Shahrol Shiro mengaku risau apakah keputusan berpindah dan mencari rezeki di Johor akan memberi pulangan baik kepada dirinya sekeluarga.

Namun, selepas bekerja di stesen radio kebanggaan rakyat Johor, Best FM, Shahrol atau nama sebenarnya, Shahrol Azizie Azmi, 33, cukup seronok apatah lagi dirinya anak jati negeri itu.

“Saya mengaku sebelum berpindah, saya risau dengan rezeki yang sempit. Tapi, selepas lebih empat bulan bertugas di Best FM, sejak Disember lalu, saya rasa seronok,” katanya kepada BH Online.

Menceritakan bagaimana hatinya tertambat menerima tawaran kerja di Johor, Shahrol berkata, dia didatangi pengurusan Best FM sebanyak tiga kali ketika bertugas di stesen radio lain.

“Pada pertemuan kali ketiga barulah saya membuat keputusan menerima tawaran mereka. Ini kerana Best FM bukan lagi stesen radio terpencil, ia sudah berkembang di selatan Semenanjung Malaysia.

“Apatah lagi stesen itu sekarang bekerjasama dengan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), jadi saya fikir ia suatu peluang yang baik,” katanya yang pernah bertugas di stesen radio Era FM dan Suria FM.

Ketika ini, Shahrol yang turut mengalihkan operasi syarikat produksinya, Bushido ke Johor, mengendalikan segmen Squad Pagi Best di Best FM.

Berkongsi perkembangan terbaru, Shahrol menjalani rawatan mengubat penyakit resdung yang dialami sejak lama dulu.

Bercerita mengenai perkara itu, Shahrol kesal dirinya dikatakan sudah meninggal dunia akibat penyakit itu gara-gara perkongsian sebuah blog.

“Saya sakit hati apabila berita palsu seperti itu tersebar. Namun, saya ampunkan mereka kerana saya tidak mahu mereka mencari saya nanti di Padang Mahsyar.

“Namun, jika saya tertekan, saya tidak teragak-agak membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya yang dilantik sebagai salah seorang jurucakap bagi kempen Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu yang dicetuskan bintang jelita, Neelofa dan Datuk Hans Isaac, baru-baru ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.