Tun M Hanya Akan Jadi PM Boneka

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarul Azman Habibur Rahman mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan berkhidmat sebagai Perdana Menteri ‘boneka’ jika pembangkang mengambil alih kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya percaya Dr Mahathir tidak layak untuk menjadi perdana menteri lagi kerana dia terlalu tua, lemah, dan mudah dimanipulasi oleh DAP. Dia kadang-kadang tidak dapat mengingati nama penuh PPBM sendiri,” katanya sambil menambah bahawa PPBM kini menjadi ejen DAP untuk menghancurkan orang Melayu.

Dalam satu surat terbuka kepada pengerusi PPBM itu hari ini, Kamarul juga mendakwa PPBM kini sedang berhadapan dengan isu dana politik asing.

“Mereka (PPBM) sentiasa mengutuk UMNO terutama presidennya Datuk Seri Najib Razak kerana menerima dana politik asing, tetapi mereka juga melakukan perkara yang sama.

“Saya masih berada di dalam PPBM semasa parti itu mencari dana politik asing pada awal penubuhannya.

“Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin menjemput saya ke rumahnya dan berkata beliau akan pergi ke Hong Kong untuk berjumpa jutawan di sana untuk mencari dana politik.

“Saya kemudian bertanya kepadanya mengenai dana berkenaan tetapi dia enggan berbincang mengenai perkara itu di dalam mesyuarat parti,” katanya.

Beliau juga mendakwa bahawa Dr Mahathir menggunakan PPBM untuk membina kekuatan politik anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Dia (Mukhriz) diberi begitu banyak kebebasan untuk memilih kawannya sendiri untuk menjadi (pimpinan) tertinggi parti.

“Saya percaya dia tidak mempunyai keupayaan untuk mengetuai dan dia bukan pemimpin Melayu yang kita cari,” katanya.

Beliau juga mendakwa bahawa kronisme di PPBM semakin ‘tebal’ dan parti itu cenderung mengawal mereka yang mempunyai potensi besar untuk menjadi pemimpin yang baik. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.