‘Bagi Adik-adik Lepas Dahulu’ – Ayda Jebat

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat hanya memikirkan soal mendirikan rumah tangga selepas tanggungjawab terhadap adik-adiknya selesai.

Akuinya, masih terlalu jauh perjalanan ke arah hidup berkeluarga apatah lagi sejak dulu, dia puas melihat insan tersayang didahulukan dalam segala hal.

“Mungkin sejak berusia 12 tahun saya sudah biasa berusaha sendiri demi membantu keluarga. Ibu bapa saya berpisah, jadi saya tak mahu adik-adik saya susah.

“Walaupun dua adik perempuan saya sekarang sudah bekerja, saya masih bagi wang belanja. Bukan sebab saya banyak duit, tapi kerana saya anggap mereka di bawah tanggungan saya.

“Salah seorang daripada mereka bakal bergelar isteri tidak lama lagi. Sebagai kakak, saya tak kisah membantu mana yang patut. Biarlah mereka ‘lepas’ dulu,” katanya kepada BH Online.

Ayda berkata, soal kahwin masih jauh dalam pemikiran mahupun perancangannya.

“Tunggulah selepas adik bongsu habis sekolah,” katanya.

Ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Ariani di ibu negara, baru-baru ini, Ayda ditemani pelakon, Redza Rosli yang diketahui menjalin hubungan rapat dengan bintang drama bersiri, Dekatkan Jarak Kita itu.

Menjelaskan kehadiran Redza di sisi, Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 25, memberitahu, temannya itu kebetulan mempunyai masa senggang untuk menemaninya ke majlis itu.

“Tak bermakna kalau dia teman, kami sebagai sepasang kekasih. Saya sengaja ajak dia ke majlis ini sebab siapa tahu dapat mencari peluang berniaga atau sebagainya,” katanya.

Ditanya sama ada lelaki lain berpeluang mendekatinya, Ayda mengaku dia sukar memulakan persahabatan

“Sebenarnya dengan Redza pun tak berkongsi semua benda. Ada perkara yang saya simpan sendiri atau pengurus saja. Kalau nak berkawan, saya terbuka.

“Saya selesa berkawan dengan Redza sebab dia bukan jenis lelaki yang memeningkan kepala… Senang cakap dia pandai bawa diri,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.