Enam Penerbitan Dikenakan Perintah Larangan

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap enam penerbitan kerana didapati mempunyai kandungan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam, moral, kepentingan awam dan mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, berkata Perintah Larangan itu diwartakan melalui empat Warta Kerajaan, iaitu PU(A)106, PU(A)107, PU(A)108 dan PU(A)109 bertarikh 24 April lalu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Beliau berkata, tiga daripada penerbitan itu didapati mengandungi fakta mengelirukan dan bertentangan ajaran serta akidah Islam sebenar mengikut mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini.

“Tajuk penerbitan itu ialah Islam dan Teologi Pembebasan, The Road to Muhammad dan Mutiara Sastera Ali: Edisi Surat & Aforisme.

“Penerbitan bertajuk Mengenal Allah Melalui Agama-Agama Purba: Gautama Buddha Seorang Nabi? pula didapati bertentangan ajaran dan akidah Islam, selain berunsur liberalisme yang dikhuatiri boleh mengelirukan pemikiran pembaca, khususnya umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alwi berkata, dua lagi penerbitan mempunyai kandungan berkenaan seks dan porno keterlaluan serta dilihat tidak bersesuaian norma kehidupan masyarakat di Malaysia, iaitu Confessions: A Secret Diary dan Hidden Agendas.

“Perintah Larangan ini menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia,” katanya.

Justeru, katanya, mereka yang melakukan kesalahan terbabit boleh dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 8(2) Akta 301, jika sabit kesalahan.

Beliau juga meminta orang awam yang mendapati ada penerbitan yang mungkin melanggar undang-undang, diedarkan dalam pasaran supaya membuat aduan kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran di talian 03-8886 8047 atau faks 03-8889 1682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.