Salah Genius – Klopp

LIVERPOOL: Jurgen Klopp melabel Mohamed Salah sebagai ‘genius’ selepas penyerang Mesir itu kembali menghantui bekas pasukannya AS Roma dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Anfield, awal pagi tadi.

Salah beraksi dengan cukup cemerlang apabila meledak dua gol serta melakukan dua umpanan ketika The Reds membenam pasukan Itali itu 5-2.

Begitupun, malam cemerlang Liverpool itu sedikit dirosakkan oleh dua gol lewat pelawat dan kecederaan serius ke atas perancang tengah Alex Oxlade-Chamberlain yang bakal terlepas peluang beraksi buat England di Piala Dunia.

JURGEN Klopp melabel Mohamed Salah sebagai ‘genius’ selepas kembali menghantui bekas pasukannya AS Roma dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Anfield, awal pagi tadi. – Foto Reuters

Roberto Firmino turut menjaringkan dua gol dengan Sadio Mane menghasilkan satu lagi gol Liverpool yang melepaskan banyak peluang terhidang sepanjang 90 minit permainan.

“Dia amat luar biasa, sudah tentu sukar untuk bertahan (menghalangnya),” kata Klopp mengenai Salah. “Gol pertama adalah penyudah genius.

“Dia sudah menjaringkan beberapa gol sebegitu dan menjadikan ia lebih istimewa kerana ia bukan lagi nasib.”

Roma sebelum ini pernah merakam kebangkitan paling hebat dalam sejarah Liga Juara-Juara dengan mengejar semula defisit selepas ketinggalan 1-4 kepada Barcelona di suku akhir.

Mereka perlu mengulanginya sekali lagi pada aksi timbal balik kedua 2 Mei ini, selepas Edin Dzeko dan Diego Perotti menyambar dua gol penting dalam tempoh 10 minit terakhir.

“Reaksi ini adalah bagus kerana kami menghidupkan semula untuk aksi timbal balik kedua,” kata pengendali Roma, Eusebio Di Francesco.

“Ini adalah separuh akhir pertama Roma dalam tempoh dekad, kami tidak biasa beraksi dengan lawan yang mempunyai tahap seperti ini… Apapun aksi ini belum berakhir.” – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.