‘Selisih Faham Adik-beradik Itu Perkara Biasa’

KUALA LUMPUR: Datuk Norman Abdul Halim, 48, menafikan timbul perselisihan faham antara dia dan dua adiknya, Yusry serta Edry hingga mengambil keputusan untuk membubarkan KRU berkuat kuasa 6 Mei ini.

Norman berkata, tidak timbul isu bertikam lidah hingga Edry membuat keputusan membawa keluarganya berhijrah ke luar negara, sebaliknya pembubaran itu hanya membabitkan aktiviti nyanyian selepas 25 tahun bersama.

“Perbalahan itu perkara biasa, malah boleh dikatakan setiap hari ia berlaku, Tetapi, tidak sehingga membuatkan hubungan kami adik-beradik berpecah-belah. Kami hanya tidak bersama di pentas nyanyian, tetapi dari segi pengurusan syarikat, semuanya masih berjalan seperti biasa.

“Sejak membuat persiapan sempena konsert ulang tahun ke-25 KRU, hubungan kami menjadi lebih akrab. Saya menjadi emosi pada sidang media lalu kerana terbayang wajah ibu bapa, selain mengenang sokongan peminat sejak KRU ditubuhkan.

“Ia bukan gimik untuk lariskan tiket konsert, sebaliknya memang keputusan itu dibuat atas kehendak bersama,” katanya.

Sejak pengumuman perpecahan kumpulan itu dibuat pada 18 April lalu, pelbagai desas-desus timbul termasuk mereka dikatakan bermasam muka hingga mengambil keputusan membubarkan KRU bagi memberi laluan meneruskan komitmen masing-masing.

Norman yang ditemui pada sidang media KL Jamm: Malaysia’s Premiere International Music Festival di sini, berkata, mereka tetap bersama, malah sedang menyusun perancangan untuk menghasilkan filem biografi KRU, selain menerbitkan dokumentari yang akan dilancarkan pada Julai ini.

“Kami mahu ada garis penamat dalam perjalanan kerjaya yang panjang ini. Edry mempunyai perancangan sendiri, begitu juga Yusry. Setiap mereka ada hala tuju tersendiri menerusi syarikat yang diusahakan.

“Kami tetap bersama, malah jika ada projek tertentu, kami akan bahagikan kepada syarikat masing-masing untuk menguruskannya mengikut kepakaran.

“Selepas ini, saya akan memberikan fokus kepada kerja di balik tabir sebagai pengerusi atau presiden syarikat. Saya akan serahkan kepada generasi baharu untuk menggerakkan syarikat ini. KRU sudah ada nama besar dan perlu mempunyai legasi.

“Dengan adanya KRU Academy, saya berharap mereka akan menyambung perjalanan kami. Saya harap peminat faham dan tidak menganggap kami bubar kerana tiada lagi persefahaman,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.