Jumaat Hari Akhir Beli Borang SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan esok adalah hari terakhir pembelian borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), yang boleh dibeli selewat-lewatnya pada jam 5 petang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata bagi proses penamaan calon PRU-14 Sabtu ini, tempoh masa untuk mengemukakan kertas penamaan calon bermula dari jam 9 pagi hingga 10 pagi.

“Kertas penamaan calon yang sudah lengkap diisi dengan betul boleh dikemukakan kepada Pegawai Pengurus oleh seorang daripada berikut, calon dan pencadang dan penyokong; mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

“SPR mengingatkan bakal calon yang hendak membayar Deposit Pilihan Raya, iaitu RM10,000 (Parlimen) dan RM5,000 (DUN) boleh berbuat demikian secara draf bank atau tunai.

“Bayaran boleh dibuat sebelum hari penamaan calon dan perlu membawa resit berkenaan pada hari penamaan itu sebagai bukti bayaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Hashim berkata, bakal calon yang bertanding mewakili parti politik dan simbol parti itu yang sudah berdaftar dengan SPR juga diingatkan supaya membawa surat kebenaran daripada seorang pegawai parti yang bertanggungjawab membenarkan untuk penggunaan simbol parti berkenaan.

Selain itu, menurutnya, semua pihak diminta sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan, tata etika dan arahan SPR, polis dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan proses penamaan calon berjalan dengan aman dan harmoni dan tidak ada gangguan.

“Seksyen 24A, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) memperuntukkan mengenai perkara yang tidak boleh dilakukan semasa hari penamaan calon iaitu memberi, membekalkan alat muzik/pembesar suara atau menggunakannya sendiri bagi tujuan dakyah politik dengan apa-apa cara atau digunakan di dalam atau di atas vesel, haiwan atau kenderaan.

“Menunggu atau berdiri dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon. Jika ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen ini, mereka boleh disabitkan, dipenjarakan tidak lebih satu tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan dan kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, SPR berharap proses penamaan calon dan kegiatan berkempen akan berjalan lancar dan tidak mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan negara. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.