Najib Optimis BN Kekal Tadbir Negara

Lima tahun selepas mengetuai Barisan Nasional (BN) dan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada tahun 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjangkakan keputusan lebih baik pada PRU-14 yang menyaksikan pertembungan pertama beliau menentang mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib, dalam wawancara dengan media antarabangsa Bloomberg, turut membicarakan mengenai tempoh sukar ketika berhadapan isu dana pelaburan negara yang membabitkan kerugian berbilion dolar sehingga mewujudkan pelbagai siasatan di peringkat global.

Beliau juga kini berhadapan waktu yang paling sukar dalam perjuangannya untuk mengekalkan pentadbiran BN lebih enam dekad, dalam pilihan raya yang menjadi sangat peribadi kerana membabitkan pertembungan dengan pemimpin yang membantunya berkuasa pada 2009, selain perebutan untuk memenangi hati orang Melayu.

Sepanjang satu jam sesi wawancara di ibu pejabat BN di ibu negara, Najib turut membicarakan mengenai PRU pada 9 Mei, menyentuh mengenai ekonomi – dengan menjanjikan lebih banyak potongan cukai pendapatan dan perniagaan jika menang pilihan raya selain isu 1MDB dan masa depan politiknya sendiri.

Najib sedang berusaha memastikan UMNO terus kekal memerintah sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Bagi mengukuhkan kedudukannya sendiri, Najib perlu memperbaiki pencapaian pada PRU 2013 apabila BN yang ditunjangi UMNO buat kali pertama hilang undi popular dan memenangi majoriti kerusi yang tipis.

Satu daripada potensi kepada penambahbaikan keputusan pada 2013 ialah mendapatkan semula majoriti dua pertiga di Parlimen yang pernah diperoleh BN sedekad lalu.

“Kami yakin akan mendapatkan keputusan lebih baik,” kata Najib, 64 tahun.

“Tiada gerakan untuk menukar kerajaan, saya tidak nampak. Ini tidak bermakna kami akan menang dengan majoriti besar, saya tidak mahu meramalkan begitu tetapi suka saya menyatakan kita cukup percaya dan optimis dengan keputusannya nanti,” katanya.

Parti carcamarba

Keyakinan Najib itu disokong dengan kedudukan Pakatan Harapan yang dilabelkan beliau sebagai ‘parti carca marba’ (a motley collection of parties) yang diketuai bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir, 93, yang selama ini menjadi juara dalam perjuangan hak istimewa orang Melayu tetapi kini berjuang bersama parti terbesar orang Cina, DAP .

“Saya tidak nampak bagaimana mereka boleh bekerjasama,” katanya.

Terletak di Selat Melaka, laluan global utama untuk perdagangan laut dan pintu masuk ke Laut China Selatan yang masih dipertikaikan, Malaysia adalah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dengan ekonomi yang tertumpu kepada komoditi dan sangat terdedah kepada perubahan dalam permintaan minyak global.

Pada masa sama Malaysia yang mempunyai masyarakat Cina dan India yang cukup besar, orang Melayu menjadi etnik terbesar yang membentuk sebahagian besar pengundi dan mereka telah lama menjadi tulang belakang UMNO.

Sejak 2013, Najib telah berusaha untuk meningkatkan sokongan orang Melayu terutama dalam kalangan pemimpin luar bandar, dan kini sokongan orang Melayu itu sangat penting untuk menangkis Dr Mahathir, yang mengaitkan beliau dengan isu 1MDB.

Mahathir, yang mentadbir Malaysia lebih 20 tahun dan terkenal dengan usaha menambat mata wang negara ketika krisis kewangan Asia pada akhir 1990-an, kini memecah-belahkan UMNO sejak 2016 dengan membentuk partinya sendiri untuk terus menentang Najib.

Selain itu, Dr Mahathir juga berusaha untuk menguasai undi Melayu, yang kebanyakan dalam kalangan petani, penjawat awam dan kumpulan berpendapatan rendah yang pada masa sama menerima bantuan dalam bentuk wang tunai daripada Najib.

Pilihan raya kali ini diwarnai dengan isu berkaitan perkauman dan agama. Susulan pengundi Cina yang meninggalkan BN pada 2013 menyebabkan parti itu mengukuhkan sokongan Melayu terhadapnya.

Najib pernah menegaskan pada 2016 bahawa orang Melayu akan menjadi “pengemis” dan institusi Islam akan jatuh sekiranya pembangkang berkuasa.

Dalam temu bual itu, Najib juga menjangkakan blok pembangkang terpaksa berhempas pulas selepas hilang sokongan parti Islam yang banyak membantu ketika pilihan raya pada 2013.

Najib juga berkata penduduk bandar dan pengundi Cina juga berharap ada perubahan ketika itu, kini kurang motivasi untuk terus menyokong pembangkang.

“Sekarang mereka tahu, ia (perubahan dijanjikan pembangkang) mustahil dan saya fikir mereka menyesal,” katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berdepan kesukaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sama ada di dalam atau luar negara.

Walaupun ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.9 peratus tahun lalu dan inflasi terkawal, kos sara hidup terus meningkat, manakala rasa tidak puas hati terhadap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan pada 2015, semakin memuncak.

Pembangkang turut memberi fokus pada isu kehidupan harian rakyat termasuk di kawasan luar bandar, dengan mendakwa Najib gagal meningkatkan pendapatan dengan sewajarnya.

Selain itu, wujud kemarahan terhadap 1MDB yang mula disiasat oleh pihak antarabangsa sejak 2015. Najib turut dituduh menggelapkan kira-kira AS$700 juta ke akaun peribadinya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), namun dinafikan Perdana Menteri.

Beliau menjelaskan wang itu adalah derma daripada keluarga Diraja Arab Saudi dan kebanyakan daripadanya sudah dikembalikan. Peguam Negara turut membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

Najib berkata, 1MDB berdepan masalah tadbir urus, namun “anda tidak boleh mendakwa seseorang sebagai pencuri dan sebagainya melainkan wujud bukti.”

“Sudah dijelaskan, tiada sebarang salah laku. Saya tetap dengan penjelasan itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui perkara itu ‘menjejaskan reputasi’ kepada Malaysia serta kerajaannya.

“Saya mungkin tidak memiliki model perniagaan seumpamanya, mungkin saya perlu memastikan pemantauan yang lebih rapi. Namun, kita semua belajar daripada kesilapan,” katanya merujuk kepada isu 1MDB.

Kukuh kedudukan dalam UMNO

Sejak itu, Najib mengukuhkan kedudukannya dalam UMNO, mengurangkan perselisihan dalaman dan memecat timbalannya.

“Saya percaya kepada keperluan mewujudkan hubungan bersifat peribadi dalam parti, supaya parti akan berdiri teguh bersama saya dalam tempoh sukar. Mereka (pembangkang) tidak mampu menggugat saya kerana sokongan akar umbi amat kuat,” katanya.

Menjelang PRU-14, pengkritik menuduh Najib cuba menyekat lawannya. Bulan ini, parti Dr Mahathir dihalang berkempen kerana gagal menyediakan dokumen tertentu (walaupun sekatan itu kini digantung oleh mahkamah), manakala Parlimen pula meluluskan undang-undang mengekang berita palsu, membabitkan hukuman penjara sehingga enam tahun.

Ditanya sama ada undang-undang itu boleh digunakan untuk menyekat perbezaan pandangan, Najib berkata, media sosial di Malaysia lebih bebas daripada kebanyakan negara lain.

“Anda boleh mengkritik kerajaan, anda boleh kata kami tidak bersetuju dengan kerajaan, anda boleh kata jangan undi kerajaan, tiada masalah. Saya boleh terima,” katanya.

Bercakap mengenai hubungannya dengan Dr Mahathir, orang yang menuduh beliau melakukan segala-galanya daripada mencuri sehinggalah mengubah persempadanan semula bagi memberi kelebihan kepada UMNO, Najib berkata, perkara itu adalah bagi mengambil kira perubahan demografik yang berlaku.

“Saya fikir dia terlalu obses untuk mengawal, membuat keputusan (calling the shots) malah ketika kami masih rapat, beliau pernah mencadangkan supaya diwujudkan majlis penasihat. Sudah tentu anda boleh bayangkan siapa yang akan mempengerusikan majlis itu dan siapa akan duduk sebagai Perdana Menteri selepas setiap Kabinet ditubuhkan dan saya pasti saya akan ke pejabatnya untuk mendapat restu daripadanya.

“Dia mahukan saya melakukan arahannya,” kata Najib. (Reaksi dan mesej bertulis kepada pejabat Mahathir pada Rabu untuk mendapat komen mengenai perkara itu tidak berjawab).

Najib turut giat menguar-uarkan kempen mengenai pertumbuhan ekonomi, menekankan mengenai projek infrastruktur yang sedang berjalan dan pemberian bantuan kewangan.

Namun beliau berkata, tiada perancangan untuk menghapuskan GST, malah menegaskan akan memberi tumpuan terhadap cukai berasaskan penggunaan itu, yang dilihat mampu memberikan pendapatan yang lebih tinggi, yang akan memberi lebih pengurangan pendapatan dan cukai korporat dalam tempoh lima tahun, bergantung kepada harga minyak dan hasil GST.

“Langkah pertama hanya baru bermula,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Najib berkata, parti komponen diterajuinya itu kini memberi tumpuan kepada negeri-negeri besar seperti Sarawak, Sabah, Kedah dan Johor yang memberi sokongan pada 2013.

Sabah dan Sarawak dikenali sebagai ‘deposit tetap’ yang sentiasa menyokong BN, menyumbang kira-kira satu pertiga dari kerusi parti komponen itu.

Menjawab mengenai topik penggantinya, Najib dilihat menjawab dengan berhati-hati dan menyatakan teman sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Long pernah berkata, beliau tidak berhasrat untuk memerintah melebihi usia 70 tahun.

“Ia adalah sebahagian tugas seorang pemimpin untuk melatih pengganti. Kami akan melakukannya namun ketika ini saya fikir, kami hanya menumpukan perhatian terhadap lima tahun akan datang bagi memastikan transformasi kami akan berjaya,” katanya.

Konflik antara Najib dengan Mahathir kini menjadikan pilihan raya negara menjadi satu acara yang terlalu peribadi. Mahathir tidak boleh dipandang remeh kerana beliau sebelum ini bertegas dengan negara jiran bertahun-tahun lamanya, termasuklah terhadap isu Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), pada masa sama mengekalkan penguasaan dalam negara.

Najib mengibaratkan dirinya sebagai seorang ‘survivor’ yang berada pada ‘masa yang sukar’ sejak zaman sekolah berasrama sehingga pada awal karier politiknya.

“Saya mungkin kelihatan lemah di luar tetapi saya mempunyai daya tahan yang kuat. Saya bukan seorang yang tidak akan cepat berputus asa,” katanya.

BLOOMBERG

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.