PPSB Bina Rumah Kedai Untuk Bumiputera

MELAKA: PUNB Properties Sdn Bhd (PPSB), anak syarikat Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bakal membina 22 unit kedai tiga tingkat bernilai RM10 juta di Mukim Bukit Katil, di sini.

Projek yang dibina di atas tapak seluas 0.9 hektar itu dijangka siap sepenuhnya menjelang September 2019.

Pengerusi Lembaga Pengarah PPSB, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam, berkata projek pembangunan hartanah pertama di kawasan itu bakal memberi peluang kepada usahawan Bumiputera memiliki premis bagi memulakan dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Syarikat pemaju, Mahligai ANS Sdn Bhd dilantik sebagai kontraktor utama bagi pembinaan 22 unit rumah kedai tiga tingkat ini dengan projek membabitkan pembinaan substesen Tenaga Nasional Berhad (TNB), kerja elektrikal, rumah sampah, tempat letak kereta dan landskap.

“Saya yakin dan percaya projek ini dapat memberi peluang kepada Bumiputera di negeri ini meningkatkan taraf ekonomi mereka, malah permohonan boleh dibuat terus ke pejabat PUNB,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah projek itu di Bukit Katil di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Azhar Ahmad dan Ahli Lembaga Pengarah PUNB, Datuk Jamelah A Bakar.

Sementara itu, Mohd Ali yang juga Pengerusi PUNB berkata, berdasarkan rekod sejak 2008 hingga 31 Januari lalu, perbadanan itu sudah membeli 235 unit premis perniagaan membabitkan pelaburan berjumlah RM268.9 juta.

“Pada tahun ini, PUNB sudah memperuntukkan RM45.7 juta untuk membeli lebih banyak premis perniagaan di lokasi strategik di seluruh negara.

“Kita juga menyasar membangunkan 54 unit premis perniagaan dengan nilai pelaburan RM41 juta, malah sedang mencari tanah seluas empat hektar untuk dibangunkan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.