Aksi JDT, Selangor Ditunda

JOHOR BAHRU: Pertembungan Liga Super antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini ditunda ke malam esok.

Komisioner Perlawanan, Shahrin Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati padang becak dan tidak sesuai digunakan untuk perlawanan itu berikutan hujan tanpa henti sejak semalam hingga petang ini.

“Selepas melakukan pemeriksaan pada jam 5.15 petang bersama pengadil, kami mendapati terdapat takungan air di beberapa kawasan sekali gus menyukarkan pergerakan bola. Malah, kedua-dua pasukan sudah dimaklumkan dan mereka bersetuju perlawanan ditunda ke malam esok,” kata Shahrin.

Tinjauan Sukan NSTP di pekarangan stadium, mendapati penyokong masih berlegar di kawasan berkenaan dan membeli tiket.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Fahmy Yahya mengesahkan penyokong yang membeli tiket semalam dan hari ini boleh menggunakannya untuk memasuki stadium pada perlawanan malam esok.

“Untuk makluman semua penyokong JDT yang sudah membeli tiket, ia boleh digunakan untuk malam esok.

“Malah penjualan tiket masih berterusan bermula pagi esok sehingga 8.30 malam dan saya menggalakkan penyokong untuk hadir memberi sokongan kepada pasukan kesayangan kita,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.