Mujur Tak Timpa Anak

MARANG: “Berderau darah saya apabila sedar dahan pokok sebesar pemeluk dewasa jatuh ke dalam bilik anak,” kata Hasmah Salleh, 50, dari Kampung Padang Tanjung, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, sebatang dahan pokok getah patah sebelum jatuh menembusi atap bilik anak Hasmah, Mohd Ashraf Shazrin, 12, yang ketika itu sedang nyenyak tidur.

“Ketika itu, ribut melanda dan saya pula baru terjaga daripada tidur. Tiba-tiba terdengar bunyi kuat seperti bedilan bom dan tak lama selepas itu terdengar suara anak memanggil nama saya.

“Tanpa berlengah, saya terus bergegas ke bilik anak dan nampak dia sedang mencangkung di tepi dinding dalam keadaan menggigil.

“Lega hati saya apabila tahu dia tak apa-apa,” katanya kepada NSTP ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Tanjung di sini, hari ini.

Musibah yang melanda ibu kepada lima anak berusia 12 hingga 27 tahun itu turut mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) DUN Bukit Payung, Toh Puan Zaitun Mat Amin yang melawat mangsa.

Zaitun yang memperuntukkan masa hampir setengah jam bersama keluarga itu turut menghulurkan bantuan peribadi serta berjanji akan mendapatkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

“Ini satu ujian dan pengajaran buat semua termasuk pihak berwajib supaya mengambil tindakan yang sewajarnya dan saya harap keluarga ini sabar serta tabah menghadapi dugaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.