Penolakan Calon Oleh SPR Bukan Isu

KUALA LUMPUR: Pembangkang tidak wajar menjadikan penolakan calon kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari penamaan calon baru-baru ini sebagai isu.

Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Bandar Tun Razak, Adnan Seman, berkata beliau juga tidak dibenarkan menghantar kertas pencalonannya kerana tidak membawa watikah asal calon dikehendaki SPR pada hari berkenaan.

“Ketika itu saya bawa salinan watikah, tetapi pegawai SPR mahu watikah asal. Jadi, saya perlu mengambil semula watikah asal itu sebelum dibenarkan menghantar kertas penamaan calon dalam masa ditetapkan SPR dan perkara ini tidak menjadi isu kerana dalam tempoh ditetapkan itu kita berjaya selesaikan.

“Ini juga membuktikan SPR berlaku adil kepada mana-mana parti, jika wakil BN tidak memenuhi syarat ditetapkan, kertas penamaan calon BN juga akan ditolak,” katanya selepas Program Minum Petang Bersama Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab calon untuk memastikan setiap syarat dan prosedur ditetapkan SPR dipenuhi.

“Contohnya pas SPR, wakil calon perlu pastikan semuanya lengkap, jika pas tidak ada, mereka wajar dapatkan pas untuk memasuki dewan bagi menyerah kertas penamaan,” katanya.

Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, calon PKR, Dr S Streram gagal menghantar borang penamaan calon sehingga memberi kemenangan kepada penyandang DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan,

Calon PKR itu tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau kerana tidak mempunyai pas calon, manakala pencadang dan penyokongnya turut tidak dibenarkan masuk ke dewan kerana tidak mempunyai pas SPR. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.